ASEAN di landasan betul bentuk AEC

ASEAN di landasan betul bentuk AEC

NUSAJAYA, 9 Jun (Bernama) – ASEAN sedang bergerak ke arah yang betul dalam membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun ini kerana ia akan menawarkan pasaran luas untuk syarikat yang mencari pertumbuhan lebih baik di rantau ini, kata seorang pengurus bank.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Mahendra Gursahani berkata, bagaimanapun ia akan mengambil sedikit masa untuk AEC stabil kerana terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani.

“Bukan senang untuk mendapatkan semua 10 negara anggota untuk bersetuju kepada setiap butiran undang-undang. Ia perlu relevan, selain memahami bagaimana usaha membentuk kesatuan ini akan memberi manfaat kepada penduduk dan kepentingan mereka sendiri.

“Akan selalu terdapat pertelingkahan, tetapi saya berpendapat kita (ASEAN)sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘Sidang Kemuncak Meningkatkan Pelbagai Peluang Rentas Sempadan di ASEAN dan Rantau Lain di sini, hari ini.

Sidang kemuncak anjuran Standard Chartered itu dihadiri delegasi perdagangan dari United Kingdom dan negara anggota ASEAN.

Pengarah Urusan dan CEO Standard Chartered Bank Malaysia, Mahendra Gursahani.
Pengarah Urusan dan CEO Standard Chartered Bank Malaysia, Mahendra Gursahani.

Mahendra berkata, dalam konteks Malaysia, syarikat tempatan belum bersedia untuk AEC walaupun mereka menyedari pelbagai peluang yang wujud.

“Untuk mereka melihat melepasi sempadan, saya berpendapat mereka perlu melihat pelbagai kerja, termasuk modul,” tambahnya.

Ketua Pelanggan Komersil Global Standard Chartered Bank, Andrew Bainbridge berkata, bukan mudah untuk ASEAN membentuk komuniti ekonomi seperti dialami Eropah beberapa tahun lepas. “Saya membesar di Eropah di mana kami melihat pembentukan pasaran bersama yang sama dengan AEC dan ia mengambil sedikit masa. Ia bukannya mudah.

“Tetapi seperti yang dikatakan Mahendran sebelum ini, ASEAN sedang bergerak ke depan dan anda perlu melihatnya secara positif dan menerima proses sukar itu untuk hidup dalam rangka kerja AEC,” katanya.