ASEAN diseru peruntuk bajet yang lebih tinggi

ASEAN diseru peruntuk bajet yang lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Negara-negara ASEAN perlu menyediakan bajet tahunan yang lebih tinggi bagi pembangunan jangka panjang industri mineral termasuk bagi menjamin kemampanan masa depan mereka.

Presiden Persekutuan Persatuan Perlombongan ASEAN Datuk Seri Dr Mohd Ajib Anuar, berkata industri sumber mineral di rantau ini sedang menghadapi kitaran penurunan yang berpanjangan sehingga menyebabkan jualan dalam sektor swasta dan kerajaan jatuh.

“Ini telah menjejaskan peluang pekerjaan, pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) dan pendapatan negara, katanya.

“Langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk pemulihan yang mampan memerlukan asas dan perubahan struktur, perubahan cara berfikir dan iltizam yang tinggi untuk melaksanakan model-model perniagaan yang dinamik serta baharu,” katanya.

Mohd Ajib berkata demikian semasa berucap di Forum Sektor Swasta Mengenai Kerjasama Dalam Mineral ASEAN hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga, kanan) melawat pameran selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Sumber Mineral Asia Pasifik ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.Turut hadir Datuk Seri Dr Mohd Ajib Anuar (tiga, kiri). – Bernama
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga, kanan) melawat pameran selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Sumber Mineral Asia Pasifik ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.Turut hadir Datuk Seri Dr Mohd Ajib Anuar (tiga, kiri). – Bernama

Bajet tersebut akan menggalakkan para pelabur yang berpotensi untuk membuat penerokaan dan meningkatkan lagi modal risiko bagi penerokaan lanjut yang lombong.

Nilai penghasilan mineral dan logam ASEAN pada sekarang adalah berjumlah AS$60 bilion, sumbangan tahunan komoditi ini mencecah sebanyak lebih 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK Asean dengan jumlah perdagangan intra dan luar Asean dalam mineral serta logam utama melebihi AS$50 bilion. Menurutnya lagi, industri ini menghadapi beberapa cabaran.

Pertama, berkaitan dengan kemampanan dalam pengeluaran mineral strategik dan logam memandangkan kejatuhan dan ketidakstabilan harga logam telah menyebabkan gangguan.

“Wujud kerisauan akan berlakunya pengurangan perbelanjaan modal sehingga menyebabkan pelaburan menjadi kurang dalam penerokaan dan pembekalan baharu,” katanya.

Beliau juga berkata, dalam usaha untuk mempunyai inventori yang komprehensif dan sumber yang berpotensi, kerajaan boleh membantu melalui pemetaan geologi, pengukuran dan mengenal pasti zon perlombongan yang berpotensi kepada para pelabur melalui pemetaan sumber mineral, ketersediaan tanah dan sumber.

Cabaran kedua membabitkan peningkatan modal dan pembiayaan untuk penerokaan serta pembangunan projek-projek perlombongan baharu berikutan para pelabur sehingga lebih berminat dengan peluang berisiko rendah, hasil yang tinggi dan cepat, yang mana ini tidak dapat ditawarkan oleh syarikat yang masih baharu.

“Untuk menangani isu-isu kritikal ini, kerajaan boleh menyediakan rangsangan fiskal dan insentif bagi menggalakkan pelaburan dalam aktiviti ini,” katanya.

Katanya, cabaran ketiga merupakan perubahan dasar dan kawal selia dalam sesetengah bidang yang digelarkan oleh pihak industri sebagai “sumber nasionalisme”.

“Oleh itu, syarikat-syarikat perlombongan,  perlu membangunkan satu strategi bagi menangani perubahan-perubahan dasar yang sentiasa berubah dalam sumber-sumber mineral dengan membangunkan model perniagaan yang lebih fleksibel, membina hubungan yang kukuh dengan kerajaan dan komunikasi yang berkesan,” – Bernama