ASEAN, EAEU p...

ASEAN, EAEU perincikan potensi FTA Ogos ini

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) – Negara-negara anggota Komuniti Ekonomi ASEAN akan memperincikan potensi perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) pada mesyuarat pegawai kanan ekonomi ASEAN (SEOM) Ogos ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia perlu mendapat konsensus daripada kesemua negara anggota ASEAN dan selepas itu, rundingan dengan pihak Rusia dan empat negara EAEU akan dijalankan.

“Malaysia sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap cadangan peluang perdagangan dan secara prinsipal bersetuju dengan cadangan FTA ini, memandangkan hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Rusia agak terhad pada ketika ini,” kata beliau selepas majlis Dialog AEC 2025 di sini hari ini.

Semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Sochi, Rusia, baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara-negara Asia Tenggara telah mencapai persetujuan untuk menimbang secara serius mewujudkan FTA ASEAN-EAEU.

Selain Rusia, blok perdagangan EAEU dianggotai oleh Armenia, Belarus, Kazakhstan dan Kyrgszstan.

Rusia telah menjadi rakan dialog ASEAN sejak Julai 1996.

Dianggarkan negara-negara anggota ASEAN dan EAEU mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak US$3.5 trilion dan gabungan penduduk lebih 700 juta orang.

Sementara itu, Dialog AEC 2025 membincangkan kepentingan kerjasama antara tujuh bursa saham negara anggota bagi menempatkan ASEAN di tangga ke sembilan di dalam pasaran saham dunia.

Ketua Perhubungan Antarabangsa Bursa Saham Thailand Pongpiti Ektheinchai berkata terdapat 4,000 syarikat disenaraikan di tujuh pasaran saham ASEAN dengan modal pasaran berjumlah US$2 trilion.

“Sekiranya kita menggabungkan nilai pasaran modal, kita boleh berada di tempat ke sembilan dan dalam 10 teratas dalam pasaran global… berbanding pasaran individu, sebagai contoh Singapura di tempat ke 20 manakala Malaysia dan yang lainnya di tempat ke 24 dan ke atas,” katanya.