ASEAN hargai sumbangan China

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

NANNING, China, 12 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini

berkenan berangkat ke Majlis Pembukaan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN China (CABIS) ke-14; dan Pavilion City of Charm Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) di Nanning, China.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis pembukaan tersebut, Baginda menghargai Ekspo China ASEAN ke-14 sebagai ekspo utama yang memperlihatkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang berdaya tahan antara ASEAN dan China.

Baginda seterusnya menghargai usaha CAEXPO dalam mempromosikan perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang mana perniagaan-perniagaan ini merupakan sumber pekerjaan yang penting di rantau ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Muliasemasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Pembukaan CAEXPO dan CABIS Ke-14, di Nanning, China. – Gambar oleh Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan merasmikan pembukaan CAEXPO dan CABIS ke-14 bersama ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan dan para delegasi.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat ke upacara perasmian tersebut.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menghadiri upacara perasmian tersebut.

Dalam ASEAN meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya pada tahun ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa, ASEAN telah bekerja rapat bersama China dalam mempromosikankeamanan dan kestabilan di Asia Tenggara serta bekerja lebih lanjut dalam pembangunan dan integrasi ekonomi sejak kewujudan ASEAN lagi.

Baginda seterusnya merakamkan penghargaan kepada China dalam memberikan sokongan yang berterusan terhadap ekonomi ASEAN, yang mana ASEAN juga meningkatkan usaha mereka untuk mendapatkan manfaat maksimum yang dapat diperolehi dari rantau yang berorientasikan ekonomi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menghargai China atas kepimpinan dan sumbangan yang kukuh kepada ekonomi global dan Baginda mengalu-alukan lebih banyak kerjasama di antara ASEAN dan China dalam melaksanakan langkah-langkah mempromosikan benua Asia sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi global.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menggariskan kepentingan dalam meningkatkan hubungan global, dan Baginda melahirkan penghargaan kepada China terhadap Silk Road Economic Belt and the 21st Century Maritime Silk Road Belt.

Baginda juga menggalakkan ASEAN dan China untuk meneroka kerjasama yang lebih erat dalam melaksanakan Pelan Induk mengenai Kesalinghubungan ASEAN 2025 dan Inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan (One Belt and One Road Initiative).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyambut baik peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China sebagai usaha dalam memperkukuhkan lagi perkongsian antara ASEAN dan China.

Dalam hal ini, Baginda menyuarakan harapan agar ianya dapat menyumbangkan kepada pencapaian berganda dalam perdagangan dua hala sejumlah AS$1 trilion dan pelaburan sebanyak AS$150 bilion menjelang tahun 2020.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan tahun 2018 sebagai Tahun Inovasi ASEAN-China, dan Baginda menggalakkan para usahawan dan sektor swasta agar lebih inovatif dalam mencari cara-cara untuk bekerja lebih rapat lagi.

Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyuarakan keyakinan bahawa hubungan ASEAN-China akan terus menjadi suatu perkongsian yang membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Terdahulu keberangkatan tiba Baginda di NICEC, Nanning dijunjung oleh Naib Gabenor Wilayah Otonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China, Zhang Xiaoqin.

Sebelum acara bermula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi menandatangani buku pelawat dan kemudiannya beredar ke Osmanthus Hall bagi acara pembukaan.

Pada majlis itu, ucaptama telah disampaikan oleh Member of the Standing Committee of the Political Bureau of the Communist Party of China (CPC) Central Committee and Vice Premier of the State Council, Republik Rakyat China, Zhang Gaoli.

Semasa majlis pembukaan itu juga, tayangan-tayangan video mengenai hubungan ASEAN-China juga dipersembahkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung oleh Gabenor Wilayah Otonomi Guangxi Zhuang, Chen Wu ke pentas untuk merasmikan pembukaan CAEXPO dan CABIS ke-14 bersama Zhang Gaoli dan para pemimpin lain dengan menggunakan alat khas.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya beredar ke Dewan Zone B, NICEC bagi perasmian Pavilion City of Charm Negara Brunei Darussalam.

Sebelum majlis tersebut bermula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkenalkan kepada Arkitek Pavilion City of Charm Negara Brunei Darussalam, Awang Mohd Farihin bin Haji Mohd. Jaafar.

Sejurus selepas itu, Baginda mengalu-alukan Zhang Gaoli ke pavilion tersebut. Baginda dan Zhang Gaoli kemudiannya merasmikan pembukaan Pavilion City of Charm Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan alat khas.

Ini juga diikuti dengan persembahan kebudayaan. Kemudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menjemput Zhang Gaoli untuk melawat pavilion tersebut.

Sebelum mengakhiri lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama para peserta pavilion tersebut.

Pavilion City of Charm Negara Brunei Darussalam ini mempamerkan sejarah, kebudayaan, pelancongan dan pembangunan ekonomi negara, dan menggambarkan pengukuhan persahabatan dan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan China.