ASEAN jadi rantau ekonomi yang penting

ASEAN jadi rantau ekonomi yang penting

KUCHING, 12 Mei (Bernama) – Rantau ASEAN yang terkenal kerana potensinya yang besar tidak lama lagi akan memasuki bidang ekonomi yang sangat penting di dunia, kata Profesor Senator Datuk Sim Kui Hian.

Beliau berkata di bawah komuniti Asean, terdapat 600 juta orang dengan 60 peratus adalah mereka yang berumur bawah 30 tahun dan membentuk tenaga kerja yang ketiga terbesar di dunia.

Sim menggesa usahawan Asean dan juga dari Sarawak untuk memanfaatkan peluang-peluang yang sedia ada.

“Kerajaan hanya boleh membantu dalam memudahkan pelaksanaan dasar tetapi usahawan sendiri perlu memanfaatkan peluang itu dan merealisasikannya,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Usahawan Asean-China di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan mahu membantu usahawan kerana mereka menyumbang kepada hasil cukai dan yang paling penting ialah mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Mengenai hubungan China-Malaysia yang terjalin 40 tahun yang lalu, Sim berkata Malaysia amat bernasib baik kerana menjadi negara pertama di rantau ASEAN menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Beliau berkata disebabkan kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein, persahabatan selama 40 tahun antara kedua-dua negara telah membentuk hubungan yang amat komprehensif, bukan sahaja dalam bidang perdagangan tetapi juga meliputi semua peringkat.