ASEAN jadikan Itali model banteras jenayah

ASEAN jadikan Itali model banteras jenayah

ROM, 4 Dis (Bernama) – Kisah kejayaan Itali dalam membanteras ancaman mafia dan melaksanakan pemeriksaan keselamatan sempadan yang ketat mendapat perhatian Malaysia yang terletak beribu-ribu batu jauhnya.

Malah, ia mendorong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan lawatan tiga hari ke negara itu dan melihat dengan lebih dekat tentang cara memerangi terus pada puncanya perkara berkaitan jenayah terancang, keganasan dan migran.

Ini berikutan masalah itu sama seperti dialami Malaysia dan rantau ASEAN, seperti yang disifatkan oleh Ahmad Zahid yang berkata: “Kejayaan Itali boleh diguna pakai dan disesuaikan selaras dengan cara kita.”

Lawatan tiga hari itu membuahkan hasil memandangkan beliau diberi input menyeluruh oleh Menteri Dalam Negeri Itali, Angelino Alfano, polis dan jabatan imigresen tentang cara mereka menangani masalah itu.

Maklumat ini juga mendorong Ahmad Zahid mengambil pendirian lebih tegas dalam menyelesaikan masalah yang melanda Malaysia dengan memperkukuhkan keselamatan siber negara dalam memerangi keganasan, menyediakan latihan sambil kerja kepada pegawai polis dan imigresen Malaysia ke Itali, selain membuat pindaan kepada undang-undang jenayah yang berkaitan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri bersalaman dengan Menteri Dalam Negeri Itali, Angelino Alfano (kanan) sempena lawatan kerja tiga hari ke Rom, Itali. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri bersalaman dengan Menteri Dalam Negeri Itali, Angelino Alfano (kanan) sempena lawatan kerja tiga hari ke Rom, Itali. – Bernama

Ahmad Zahid juga mencadangkan supaya dengan pembentukan Komuniti ASEAN, negara anggota perkumpulan serantau itu perlu mempunyai sistem saringan yang seragam di setiap pintu masuk.

Langkah ini bertujuan memperkukuhkan keselamatan sempadan dengan menggunakan peralatan saringan berteknologi tinggi dalam membendung jenayah rentas sempadan, keganasan, migran dan pemerdagangan manusia.

Mengenai perdagangan, Zahid menyuarakan hasrat Malaysia untuk menjadi hab produk Itali bagi pasaran ASEAN. Sebelum lawatan beliau ke Itali, Ahmad Zahid mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015 di pulau Malta.

Dalam mesyuarat itu, timbalan perdana menteri mengumumkan bahawa kertas Kabinet berkaitan perubahan iklim telahpun dikemukakan kepada Kabinet sebagai membuktikan komitmen Malaysia ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Malaysia dipilih menjadi tuan rumah CHOGM ke-26 pada tahun 2020.