ASEAN kaji bidaan Piala Dunia 2034

ASEAN kaji bidaan Piala Dunia 2034

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) – Menteri-menteri Sukan ASEAN bersetuju untuk mengadakan satu kajian pelaksanaan untuk membuat bidaan menjadi tuan rumah bersama bola sepak Piala Dunia 2034.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) diberikan tanggungjawab untuk mengetuai kajian berkenaan.

Beliau berkata hasil kajian pelaksanaan itu nanti akan dikemukakan kepada semua negara anggota ASEAN untuk mendapatkan persetujuan sebelum membentuk jawatankuasa penganjur bersama untuk membida selaku tuan rumah bersama kejohanan berprestij itu.

“Kita buat kajian pelaksanaan dulu sebab kita sebenarnya pun tidak tahu berapa anggaran kos. Kita pun kena ambil kira beberapa faktor kerana walaupun kita bentangkan di peringkat ASEAN, barangkali bukan setiap negara anggota boleh terlibat sebagai tuan rumah hakiki.

“Untuk 10 negara (jadi tuan rumah) adalah satu perkara yang sukar dan tidak diterima oleh FIFA. Saya difahamkan FIFA mungkin boleh terima maksimum empat negara menjadi tuan rumah. Itu pun tertakluk kepada perbincangan dengan FIFA,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Sukan ASEAN kali ketiga, di sini hari ini.

Menteri-menteri Sukan ASEAN bersetuju untuk mengadakan satu kajian bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. – Reuters
Menteri-menteri Sukan ASEAN bersetuju untuk mengadakan satu kajian bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. – Reuters

Menurut Khairy, cadangan mengadakan kajian pelaksanaan itu dikemukakan pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Sukan (SOM) di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

“Kami sudah dimaklumkan mengenai bidaan untuk tahun 2034, dokumen pembidaan mesti disiapkan menjelang 2019. Itu memberikan kita masa kurang empat tahun untuk membuat persediaan melakukan bidaan rasmi.

“Kami berharap boleh menjalankan dan menyiapkan kajian menjelang tahun depan yang kemudiannya akan dikemukakan kepada kerajaan masing-masing untuk keputusan. Apabila keputusan sudah dibuat, kita boleh membentuk jawatankuasa penganjur bersama,” jelasnya.

Pada Kongres Tahunan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ke-11 di Medan, Indonesia, April tahun lepas, badan bola sepak itu membuat usul agar ASEAN menganjurkan Piala Dunia 2034 yang akan dikemukan kepada negara anggota untuk pertimbangan.

Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad berkata penganjuran Piala Dunia itu penting untuk pembangunan bola sepak di semua negara anggota AFF.

Sementara itu, Khairy berkata ASEAN juga mengalu-alukan penganjuran bola sepak Liga Super ASEAN yang kini masih menunggu keputusan daripada FIFA selaku badan induk bola sepak dunia.

ARTIKEL YANG SAMA