ASEAN-Kanada gandakan perdagangan pada 2020

ASEAN-Kanada gandakan perdagangan pada 2020

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) – Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Majlis Perniagaan Kanada-ASEAN (CABC) memuktamadkan mesyuarat perundingan mereka hari ini dengan sasaran untuk menggandakan perdagangan ASEAN-Kanada pada 2020 daripada K$19 bilion sekarang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata sasaran itu boleh dicapai berikutan minat Kanada yang semakin berkembang ke arah rantau ini.

“Hala tuju lima tahun bagi kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Kanada turut diluluskan dalam mesyuarat berkenaan, dan keutamaannya di sini adalah untuk memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di rantau ini.

“Kami mahu hala tuju itu, yang akan bermula tahun depan, selari dengan Visi ASEAN 2025 dan Kanada telah menyatakan kesediaannya untuk meningkatkan penyertaan dalam bina upaya PKS ASEAN dalam pelbagai sektor termasuk teknologi,” kata Mustapa kepada pemberita.

Turut hadir pada mesyuarat itu yang diadakan di samping Mesyuarat AEM ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada Christine Hogan, Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh dan Presiden CABC Wayne Farmer.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) berbincang dengan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, Christine Hogan (tengah) sempena Mesyuarat AEM dan CABC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) berbincang dengan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, Christine Hogan (tengah) sempena Mesyuarat AEM dan CABC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – Bernama

Pada mesyuarat itu, semua pihak berikrar untuk memperhebat usaha dalam mempromosikan ASEAN di Kanada, meningkatkan pelaburan Kanada di rantau ini dan memperkukuhkan hubungan dua hala.

Mewakili pihak swasta, Presiden CABC Wayne Farmer berkata ahli perniagaan Kanada tertarik dengan peluang pelaburan besar dalam ASEAN berikutan ekonomi yang dinamik dan penduduk muda.

“Pelaburan dan perdagangan oleh syarikat Kanada dalam ASEAN kini lebih besar daripada gabungan pelaburan dan perdagangan di India, China, Korea Selatan serta Jepun, yang sejak dahulu lagi merupakan rakan dagang utama kami dalam rantau Asia Pasifik.

“Kami melihat potensi yang sangat besar bagi pelaburan dalam ASEAN menerusi sektor teknologi, aeroangkasa, perbankan, kewangan, insurans, perniagaan tani dan makanan, infrastruktur, selain pelaburan infrastruktur,” katanya.

Mengenai kelemahan beberapa mata wang ASEAN, Farmer berkata penyusutan mata wang ini adalah berbanding dolar AS, bagaimanapun, pertukaran itu tidak begitu ketara apabila dibandingkan dengan dolar Kanada.

ARTIKEL YANG SAMA