ASEAN kekal kompetitif dengan pertumbuhan 4.7 peratus

ASEAN kekal kompetitif dengan pertumbuhan 4.7 peratus

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Di sebalik cabaran luaran dan penurunan risiko, ekonomi ASEAN akan kekal kompetitif dengan kukuh, disokong oleh kedudukannya sebagai hab pengeluaran global, dengan kadar pertumbuhan dijangka pada purata 4.7 peratus dari 2016 hingga 2020, menurut The Conference Board.

Ketua Pakar Ekonomi, Dr Bart van Ark, berkata dengan purata pertumbuhan lebih 4.0 peratus untuk dekad akan datang, ASEAN dijangka menyaksikan pertumbuhan yang tinggi dalam pelaburan untuk memenuhi keperluan infrastrukturnya.

“Pengembangan asas pengguna yang kukuh, didorong oleh integrasi pasaran produk di negara-negara ASEAN, akan membawa kepada kuasa membeli pengguna yang lebih besar,” katanya dalam pembentangan beliau mengenai ‘Prospek Ekonomi Global 2016’ pada forum anjuran Institut Kewangan Asia di sini hari ini.

van Ark berkata Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), dengan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) atau Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RPEC), akan memudahkan lagi produk serantau, pengguna, dan integrasi modal insan serta meningkatkan daya saing eksport dan pengeluaran global di rantau ini.

“Bagi meningkatkan rantaian nilai global, memacu ke arah lebih inovasi, lebih banyak pembaharuan dalam pasaran buruh, dan pelaburan dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja akan menjadi kunci kepada pertumbuhan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, bagi Malaysia, van Ark berkata penting bahawa agenda pelaburan akan dipacu oleh pulangan yang lebih tinggi dan pertumbuhan produktiviti yang lebih cepat.

“Saya fikir antara cabaran sebenar bagi Malaysia ialah membolehkan syarikat baharu berkembang dan syarikat sedia ada yang tidak dapat memacu pertumbuhan gagal…ini merupakan cara untuk mengagihkan semula sumber untuk menjadikan ekonomi lebih produktif.

“Malaysia, selain ia telah melaksanakan banyak perkara baik… mengenai inovasi, perubahan teknologi, agenda pembaharuan perlu lebih menumpukan kepada persaingan dalam ekonomi,” katanya.