ASEAN komited kukuhkan keselamatan siber

ASEAN komited kukuhkan keselamatan siber

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Negara-negara ASEAN mengulangi komitmen teguh dalam meningkatkan kerjasama serantau bagi mengukuhkan sektor keselamatan siber di rantau itu.

Komitmen itu ditegaskan semasa Persidangan Menteri-menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) dan Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) yang diadakan di Suntec Convention Centre dan Shangri-la Hotel selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Pada persidangan tersebut, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar yang diiringi oleh ketua pegawai eksekutif BruCERT (Brunei Computer Emergency Response Team) dan beberapa pegawai kanan dari JPM.

SICW 2016 adalah julung kali diadakan sempena Persidangan Siber dan Pameran Tahunan GovermentWare (GovWare) di Singapura.

Pameran GovWare yang menyambut ulang tahun ke-25 itu, disertai oleh 85 buah syarikat yang memperkenalkan dan mempamerkan berbagai corak trend terkini dalam teknologi, pelaksanaan organisasi dan perspektif pengguna.

Dato Paduka Haji Hamdan (kiri sekali) bergambar ramai bersama menteri-menteri ASEAN yang menghadiri persidangan AMCC di Singapura, kelmarin.
Dato Paduka Haji Hamdan (kiri sekali) bergambar ramai bersama menteri-menteri ASEAN yang menghadiri persidangan AMCC di Singapura, kelmarin.

JPM dalam satu kenyataan berkata, tema pameran bagi tahun ini iaitu “Membangunkan Masa Depan Yang Selamat dan Kukuh Menerusi Perkongsian,” menggambar hasrat Singapura untuk mengukuhkan masa depan digital mereka menerusi pengukuhan tempatan dan usaha sama antarabangsa.

Majlis Perasmian SICW yang diadakan pada 10 Oktober lalu di Suntec Convention Centre telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Di samping kehadiran menteri-menteri ASEAN, platform SICW juga menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin, pakar teknologi, profesional dan pereka-cipta dalam industri keselamatan siber.

Dalam acara sampingan, ketua-ketua delegasi ASEAN juga menyertai kunjungan muhibah ke atas Perdana Menteri Singapura.

AMCC diadakan pada 11 Oktober 2016 dan dipengerusikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri yang Bertanggung-jawab bagi Keselamatan Siber, Dr Yaacob Ibrahim.

Ketika AMCC, para menteri berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai bidang-bidang penting bagi Keutamaan Keselamatan Siber bagi ASEAN di samping elemen-elemen yang berkemungkinan untuk dimasukkan ke dalam Strategi Keselamatan Siber ASEAN.

Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai kemungkinan Pusat Keselamatan Siber ASEAN sebagai saluran bagi kerjasama lebih rapat ASEAN seperti berkongsi amalan terbaik dan maklumat, di samping cara terbaik untuk melaksanakannya.

Mesyuarat itu juga terdiri daripada Sesi Panel Pakar yang membincangkan mengenai Undang-undang Antarabangsa dan Ruang Siber.

Tumpuan utama ketika AMCC, adalah Inisiatif Siber Hijau, iaitu sebuah organisasi kolaborasi global bukan bermotifkan keuntungan yang melakukan aktiviti-aktiviti de-ngan fokus untuk membantu bagi meningkatkan kedudukan ekosistem siber global dengan memberikan metrik, perkiraan yang boleh dipercayai dan amalan terbaik pengurangan kepada Cyber Security Incident Response Teams, operator rangkaian dan penggubal dasar.

Para delegasi ASEAN juga diberikan peluang untuk melawat ke beberapa buah industri terkemuka dalam keselamatan siber di Singapura.

Hasil utama yang diperoleh daripada mesyuarat itu adalah komitmen teguh negara-negara ASEAN, dalam meningkatkan kerjasama serantau bagi mengukuhkan sektor keselamatan siber di rantau itu.

ARTIKEL YANG SAMA