ASEAN kutuk serangan keganasan di Belgium

ASEAN kutuk serangan keganasan di Belgium

JAKARTA, 24 Mac (Bernama) – Negara Anggota ASEAN mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan di Brussels, Belgium pada Selasa, yang mengorbankan puluhan nyawa dan beratus-ratus orang cendera selain kerosakan harta awam.

Menurut laporan agensi berita Vietnam (VNA), menteri-menteri luar ASEAN dalam kenyataan pada Rabu, turut mengucapkan simpati dan takziah kepada rakyat dan kerajaan Belgium serta keluarga mangsa serangan keganasan itu.

ASEAN dalam kenyataannya turut menyokong usaha kerajaan Belgium untuk memulihkan semula keadaan negara itu seperti biasa dengan secepat mungkin dan membawa mereka yang bertangungjawab ke muka pengadilan. Kenyataan itu sekaligus mengesahkan komitmen tinggi menteri-menteri luar ASEAN untuk bekerja rapat dengan komuniti antarabangsa dalam usaha menangani sebarang bentuk keganasan.

Beberapa siri letupan menggegarkan lapangan terbang Brussels dan tren metro di bandar raya itu pada Selasa, menyebabkan lebih 30 terbunuh dan mencederakan lebih 200 orang. Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ganas itu dan turut menerima kutukan keras daripada komuniti antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA