ASEAN lancar AEC

ASEAN lancar AEC

JAKARTA, 31 Dis (AFP) – ASEAN secara rasmi melancarkan sebuah blok ekonomi hari ini yang bertujuan meningkatkan pengaruh perdagangan rantau ini dan menarik lebih banyak pelaburan, tetapi penganalisis berkata usahanya mencapai pasaran tunggal sebenar masih jauh.

Pertubuhan 10 negara itu memuji projek tersebut sebagai “satu kejayaan” dalam menggabungkan kuasa ekonomi sebuah pasaran yang kaya sumber dan yang sedang berkembang dengan lebih 600 juta penduduk.

Wawasan Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) itu ialah sebuah pasaran tunggal dengan aliran bebas barangan, modal dan buruh mahir, yang harus membantu rantau ini bersaing dengan pihak seperti China bagi pelaburan asing.

Blok baru itu “akan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan rantau ini dan mewujudkan peluang pembangunan bagi semua”, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Bagaimanapun, para pakar berkata idea itu sukar dicapai, jika tidak mustahil, di rantau yang tahap pembangunan, demokrasi, dan keupayaan institusinya sangat berbeza.

Seorang wanita Kemboja (kiri) membeli sayur di sebuah pasar raya di Phnom Penh pada 31 Disember. Negara-negara Asia Tenggara secara rasminya melancarkan blok ekonomi yang diinspirasikan EU pada 31 Disember, bertujuan untuk merangsang pengaruh perdagangan rantau ini dan menarik lebih banyak pelaburan. – AFP
Seorang wanita Kemboja (kiri) membeli sayur di sebuah pasar raya di Phnom Penh pada 31 Disember. Negara-negara Asia Tenggara secara rasminya melancarkan blok ekonomi yang diinspirasikan EU pada 31 Disember, bertujuan untuk merangsang pengaruh perdagangan rantau ini dan menarik lebih banyak pelaburan. – AFP

Para diplomat akur wawasan sebuah pasaran tunggal mengambil masa bertahun-tahun untuk dicapai, tetapi menegaskan projek itu akan membantu mengubah minda dan memberi momentum.

ASEAN telah mencapai kemajuan dalam perkara yang lebih mudah dicapai, seperti mengurangkan tarif dan menghapuskan halangan lain, termasuk sistem kastam yang bercanggah, tetapi halangan tarif yang penting dan halangan lain masih kekal.

Walaupun rancangan ASEAN diilhamkan oleh pasaran tunggal yang dibangunkan oleh 28 anggota Kesatuan Eropah (EU), para pegawai menegaskan mereka mahu mencapai integrasi dengan cara yang sesuai dengan keadaan di rantau ini, dan menolak mata wang tunggal.