ASEAN makmur tanpa contohi model EU

ASEAN makmur tanpa contohi model EU

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) – ASEAN mampu mencapai kemakmuran tanpa perlu membentuk satu gagasan ekonomi menyamai Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Malah, katanya, ASEAN melihat aspek kepelbagaiannya sebagai satu kekuatan serta mengiktiraf manfaat dan keperluan bagi penyepaduan ekonomi seiring keutamaan perdagangan serta kemudahan pelaburan.

Malah, tegasnya, penyepaduan ekonomi dalam ASEAN akan terus dibuat berpaksikan realiti pragmatik dan ekonomi dengan mengambil kira tahap perbezaan pembangunan ekonomi negara-negara anggotanya.

“Wujud keperluan bagi kesungguhan politik untuk mengimbangi nasionalisme berbanding manfaat bersama untuk rantau itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia Kali Ke-19 selama dua hari, di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Persidangan tahunan anjuran ASLI bertemakan Perbankan Dalam Era Baharu Serantau Selaras Penyepaduan Ekonomi ASEAN, antara lainnya membincangkan serta menilai cabaran utama, aliran serta peluang dalam industri perbankan dan kewangan.

Mustapa berkata, biarpun lebih 90 peratus daripada 505 langkah-langkah keutamaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) telah dilaksanakan negara anggotanya, langkah selebihnya memerlukan masa lebih lama kerana perlu mendapatkan kelulusan Parlimen atau Kongres negara anggotanya.

Isu lain yang tidak kurang pentingnya adalah pensijilan sendiri bagi pengeksport dan pengimport serta Jendela Tunggal ASEAN – inisiatif bagi mempercepatkan pelepasan kargo dalam konteks mempertingkatkan penyepaduan ekonomi serantau, katanya.

Cabaran lain, kata Mustapa, adalah keperluan mengutarakan kebimbangan perniagaan tempatan bagi mendapatkan penerimaan mereka dalam usaha memastikan pelaksanaan langkah berkenaan tanpa menjejaskan ekonomi tempatan.

Menurutnya, satu pelan 10 tahun kini dirangka selaras tempoh pasca 2015 iaitu selepas pelaksanaan AEC menjelang akhir tahun ini.

Ia antara lainnya akan meliputi penyepaduan dan keutuhan ekonomi ASEAN yang berdaya saing, inovatif dan dinamik; mempertingkatkan penyepaduan antara sektor dalam ASEAN, inklusif, berdaya tahan serta ASEAN yang berteraskan rakyat dan ASEAN yang global.

“Mengambil iktibar daripada AEC 2015, wawasan dan pelan tindakan itu seharusnya saling serta berhubungan dengan baik. Pelaksanaan pelan itu turut memerlukan pemantauan yang teliti,” katanya.

Selain itu, mengulas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), beliau berkata kementeriannya masih lagi menunggu kajian analisis kos serta manfaat oleh pihak Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan PriceWaterhouseCoopers (PWC).

Menurutnya, analisis itu akan memberi input bagi membantu kerajaan membuat keputusan mengenai TPPA.

ARTIKEL YANG SAMA