ASEAN pasaran terbesar ke-4 dunia 2050

ASEAN pasaran terbesar ke-4 dunia 2050

WASHINGTON DC, 13 Ogos – ASEAN berpotensi menjadi pasaran keempat terbesar di dunia menjelang 2050, menurut Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) (MYUSCHAM).

Pengarah Eksekutifnya, Roy Michael berkata lebih 600 juta penduduk dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM2.4 trilion pada 2013, ASEAN kini merupakan pasaran ketujuh terbesar dunia.

“Andai trend ini berterusan, ia berpotensi menjadi pasaran keempat terbesar dunia menjelang 2050,” katanya.

Michael juga berkata jumlah dagangan ASEAN pada 2014 berjumlah lebih US$2.5 trilion, dengan kadar pertumbuhan purata kira-kira 5.1 peratus dari 2007-2014.

Beliau memberitahu Bernama, ASEAN mencatat lebih AS$1.2 trilion jumlah eksport barangan, menjadikannya rantau ekonomi paling terbuka di dunia.

“Kemajuan ketara dicatat dalam menyepadukan ekonomi 10 negara anggota menerusi pelan tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang disasarkan menjadi kenyataan pada akhir tahun ini,” katanya.

Beliau juga berkata Aturan Perakuan Bersama (MRA) dalam kalangan anggota ASEAN akan menjurus kepada mobiliti tenaga kerja yang lebih luas dan berupaya membangunkan pertumbuhan yang lebih saksama di rantau itu.

“Peluasan pergerakan tenaga kerja dan produktiviti akan memacu KDNK dan menjadikan ASEAN enjin pertumbuhan dunia,” katanya selepas menjadi hos ‘ASEAN–US Trade Winds Forum’ di Kedutaan Malaysia di sini semalam. Ia dihadiri pemimpin dasar dan industri Amerika.

Forum separuh hari itu yang merupakan acara suku tahunan yang dianjurkan secara bergilir-gilir antara kedutaan ASEAN di sini, bertujuan meningkatkan pemahaman antara Amerika dan perusahaan kecil dan sederhana ASEAN. Perbincangan panel meliputi kemajuan terkini AEC, cabaran dalam merealisasikan penyepaduan ekonomi ASEAN dan pertikaian Laut China Selatan.

Antara penceramah jemputan ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Husin, wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Turut serta wakil-wakil kedutaan Myanmar dan Filipina, Jabatan Perdagangan AS, Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), Pusat Analisis Naval (CNA), dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade New York, Muhd Shahrulmiza Zakaria pada forum itu menggalakkan komuniti perniagaan Amerika menjalin usaha sama baharu dalam perniagaan dengan syarikat Malaysia yang beroperasi dalam pasaran ASEAN. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA