ASEAN: Peduli kesejahteraan serantau

ASEAN: Peduli kesejahteraan serantau

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) – Negara-negara anggota ASEAN tidak harus mengabaikan tanggungjawab mengenai isu diplomasi keselamatan serantau ketika berusaha untuk mengejar kepentingan negara sendiri.

Demikian menurut seorang penganalisis Keselamatan Maritim yang berpangkalan di Singapura, Benjamin Ho kepada Bernama baru-baru ini.

“Ketika keutamaan negara tidak boleh diabaikan demi kesejahteraan serantau begitu juga ia tidak harus mengatasi kepentingan utama, lebih-lebih lagi jika hasil jangka panjang terpaksa dikorbankan demi ganjaran untuk jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata ketika China dan Amerika Syarikat semakin menunjukkan minat mereka terhadap kawasan ASEAN yang merangkumi 600 juta penduduk, mungkin akan terdapat keperluan kumpulan ini memilih antara kedua-dua kuasa besar ekonomi berkenaan.

Ia akan menjadi pilihan yang akan memberi kesan dinamik intra-ASEAN dan perpaduannya, katanya.

“Bagi ASEAN untuk kekal fokus, ia perlu berhujah bagi meyakinkan bahawa kepentingan Beijing akan dijaga jika China tidak cuba untuk memaksa secara unilateral mengenai cita-citanya untuk menguasai wilayah dan ia sebaliknya perlu terus mengiktiraf usaha secara sah negara-negara ASEAN.

“Begitu juga, sebaliknya Washington juga perlu diyakinkan, memandangkan cabaran fiskalnya bahawa negara itu perlu terus bertahan di Pasifik dan tidak membiarkan saingan daripada bahagian-bahagian lain di dunia (Timur Tengah, Rusia) untuk mengalih perhatiannya dari rantau ini,” katanya.

Dalam erti kata lain, Ho berkata, China dan Amerika Syarikat akan mendapat banyak manfaat dari rantau ini jika mereka boleh melibatkan diri untuk melaksanakan sekatan strategik dalam hubungan dua hala dan menahan diri daripada memisah dan memecahbelahkan ASEAN.

“Bagi pihak ASEAN, negara anggota perlu dilihat oleh kuasa besar sebagai kumpulan yang bersatu padu dan memberi pandangan secara kolektif,” katanya.

Ho, yang juga Felo Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Universiti Teknologi Nanyang Singapura, berkata dalam tempoh antara lima hingga sepuluh tahun lagi, keadaan akan menjadi lebih genting dalam usaha ASEAN untuk mewujudkan komuniti ASEAN yang saling mempercayai.

Memandangkan terdapat peningkatan perbelanjaan pertahanan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, Ho berkata pengamal pertahanan sewajarnya membelanjakan sumber dengan betul bagi memastikan wang berkenaan digunakan dengan sebaiknya.

Ini perlu dilakukan, terutamanya dalam bidang-bidang seperti Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kapasiti serta keupayaan ketenteraan yang boleh dipantau, katanya.

Dianggarkan bahawa perbelanjaan pertahanan dalam kalangan 10 negara anggota kumpulan ini meningkat 147 peratus kepada AS$35.5 bilion pada 2013 daripada AS$14.4 bilion pada 2004.

Ho berkata keupayaan ASEAN untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam HADR dan SAR misalnya, akan mencerminkan peranan ASEAN yang semakin meningkat dan matang dengan keutamaan antarabangsa menjadi semakin penting.

“Untuk merealisasikan ASEAN sebagai pusat dan bukan sekadar slogan politik kosong, Komuniti Keselamatan ASEAN perlu mengotakan janji mereka untuk menjaga masa depan rantau ini,” katanya.Ketika ditanya mengenai isu paling utama bagi ASEAN untuk ditangani kini, Ho berkata ia meliputi isu-isu keselamatan bukan tradisional seperti jerebu dan keganasan termasuk ancaman Islamic State (IS).

ARTIKEL YANG SAMA