ASEAN perlu bersatu tangani pertikaian laut

ASEAN perlu bersatu tangani pertikaian laut

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Sebuah forum merumuskan bahawa negara anggota ASEAN perlu menggunakan kepentingan bersama dalam bidang ekonomi untuk menyelesaikan pertikaian mengenai Laut China Selatan.

Forum ‘Perpaduan dan Keamanan ASEAN Selepas Keputusan PCA (Mahkamah Timbang Tara Tetap)’, yang diadakan baru-baru ini merumuskan bahawa negara anggota ASEAN perlu terus bersatu bagi mengekalkan keamanan di Laut China Selatan.

Demikian antara resolusi, yang diluluskan pada forum anjuran Worldfuture Organisation itu, mengenai pertikaian berkaitan Laut China Selatan yang kaya dengan sumber asli.

Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam mempunyai tuntutan bertindih bagi beberapa kawasan di Laut China Selatan, manakala China pula menuntut keseluruhan laut itu sebagai wilayahnya.

“ASEAN perlu mengamalkan pendekatan bersepadu dalam menangani pertikaian itu kerana Laut China Selatan adalah laman kita. ‘Pertikaian mengenai Laut China Selatan hanya boleh diselesaikan atau diurus jika semua yang terlibat mempamerkan niat baik mereka untuk menanganinya mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut,” kata penganjur forum itu dalam kenyataan hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA