ASEAN perlu campur tangan isu Rohingya

ASEAN perlu campur tangan isu Rohingya

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Dasar tidak campur tangan ASEAN terhadap isu domestik negara anggotanya seharusnya tidak menjadi alasan pertubuhan serantau itu berdiam diri berhubung isu penindasan etnik Rohingya yang berlanjutan kerana ia bukanlah isu dalaman Myanmar semata-mata sebaliknya melibatkan soal kemanusiaan sejagat, demikian menurut beberapa penganalisis politik.

Mereka berkata ASEAN tidak boleh ‘memalingkan muka’ dengan membiarkan penganiayaan yang dilakukan terhadap etnik minoriti Islam itu berterusan tanpa berbuat apa-apa kerana ia jelas turut melibatkan negara anggota yang lain.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata Malaysia dan Thailand terpalit dalam isu pemerdagangan manusia etnik Rohingya selain isu pelarian etnik itu yang kini turut melibatkan Indonesia. “Justeru, ASEAN perlu berbuat sesuatu untuk campur tangan tetapi dalam masa sama masih mengambil kira sensitiviti Myanmar.

“Sebarang tindakan yang akan diambil terhadap Myanmar mestilah tindakan ‘en bloc’ seluruh anggota ASEAN dan tidak menyebabkan ASEAN menjadi berpuak-puak kerana ia akan hanya akan memecahbelahkan ASEAN sendiri,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut kepentingan campur tangan ASEAN dalam isu Rohingya, Nik Ahmad Kamal berkata selain berlandaskan faktor kemanusiaan, ia turut melibatkan faktor diskriminasi terhadap etnik itu termasuklah tidak mendapat perlindungan keselamatan dan kebajikan sewajarnya.

Selain tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh undang-undang Myanmar, etnik Rohingya turut dilabel sebagai pendatang walaupun telah beratus tahun menghuni negara itu. Dilaporkan, terdapat kira-kira 1.5 juta etnik Rohingya menetap di wilayah Rakhine, daripada keseluruhan kira-kira 55 juta penduduk Myanmar.

Isu dan diskriminasi terhadap Rohingya terus berlarutan meskipun setelah parti National League for Democracy (NLD) pimpinan tokoh demokrasi dan penerima Anugerah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi, mencapai kemenangan besar pada pilihan raya Myanmar November tahun lepas.

Suu Kyi, yang kini merupakan Kaunselor Negara dan Menteri Luar, dilaporkan tidak mengiktiraf kewujudan Rohingya di Myanmar dan merujuk kumpulan etnik itu sebagai ‘Benggali’.

Malaysia menghadapi kebanjiran pelarian dari Myanmar sejak 2012 dan statistik sehingga Februari lepas terdapat kira-kira 144,390 pelarian negara itu, majoriti daripadanya adalah etnik Rohingya di sini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA