ASEAN perlu gigih bangunkan komuniti

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – ASEAN perlu berusaha gigih ke arah proses membangunkan Komuniti ASEAN bagi memastikan rantau yang terbuka, inklusif dan aman kerana hanya dengan cara itu rantau ini dapat memastikan kejayaannya untuk generasi yang akan datang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-31, pagi tadi.

Baginda seterusnya bertitah bahawa ASEAN telah mencapai banyak kemajuan yang membanggakan terutama dalam menyumbang ke arah keamanan dan kestabilan serantau dan mempromosikan pertumbuhan ekonomi.

“Amat penting bagi ASEAN untuk memantapkan lagi pencapaiannya dengan mengutamakan usaha-usaha integrasi melalui Komuniti Ekonomi ASEAN,” titah Baginda.

Baginda Sultan kemudian bertitah mengambil baik mengenai unjuran bahawa ASEAN dijangka menjadi empat ekonomi terbesar di dunia menjelang 2030.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan bergambar ramai bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN sempena sidang kemuncak kelmarin. – Infofoto

Dalam hal ini, Baginda menggesa ASEAN untuk melipatgandakan usaha dalam perdagangan intra-ASEAN menjelang Wawasan ASEAN 2025 dan memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan segera.

Baginda juga menyeru ASEAN untuk memberikan tindakbalas segera mengenai permulaan Revolusi Industri Keempat dengan memperkembangkan lagi kesiapsiagaan serantau untuk memperolehi manfaatnya terutama dalam ekonomi digital yang dijangka akan meningkatkan pasaran e-dagang serantau daripada 30 bilion dalam tahun 2016 kepada 200 bilion dolar Amerika Syarikat menjelang tahun 2025.

Melihat akan kesan ekonomi digital yang meluas, titah Baginda, ASEAN juga perlu menyediakan dasar yang bersesuaian dalam pelbagai bidang. Selain itu, Baginda menggariskan kepentingan untuk mengembang dan meluaskan lagi hubungan ASEAN bersama negara-negara rakan dialog dalam meningkatkan lagi keamanan dan keselamatan.

Baginda selanjutnya memuji ikatan erat, kepercayaan, keyakinan dan kerjasama rapat yang dikongsikan oleh semua negara anggota ASEAN dan berpendapat pertalian tersebut telah membentuk asas agenda pembangunan Komuniti ASEAN.

“Sebagai cara mempromosikan perpaduan antara masyarakat ASEAN, Negara Brunei Darussalam akan memberikan 50 biasiswa dalam perkembangan kemahiran perhubungan profesional untuk rakyat dari negara-negara anggota ASEAN bagi tempoh lima tahun,” titah Baginda.

Pada sidang yang bertemakan ‘Kerjasama bagi Perubahan, Melibatkan Dunia’ itu juga, para pemimpin ASEAN membincangkan pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan hala tujunya serta bersetuju untuk melantik Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Lim Jock Hoi sebagai Setiausaha Agung ASEAN bagi tempoh lima tahun mulai 2018 hingga 2022.

Pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialognya iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Kesatuan Eropah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhimpun di Manila untuk menghadiri kedua-dua Sidang Kemuncak ASEAN yang dianjurkan Filipina buat kali kedua dari 12 hingga 14 November.

Sidang kemuncak tiga hari berkenaan juga berbetulan dengan ulang tahun ke-50 perkumpulan serantau itu.