Asean perlu panggil mesyuarat tergempar selesai isu Rohingya

Asean perlu panggil mesyuarat tergempar selesai isu Rohingya

PUTRAJAYA, 18 Mei – ASEAN perlu memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu Rohingya bagi menangani dan menyelesaikannya secara kolektif, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ASEAN perlu beri tekanan kepada Myanmar kerana tindakan terhadap etnik Rohingya adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Rohingya tidak patut dibunuh seperti ini … ASEAN perlu panggil mesyuarat untuk semua Menteri Luar sekurang-kurangnya … untuk bincangkan dan beritahu Myanmar, anda (Myanmar) tidak boleh lakukan ini terhadap rakyat anda dan mewujudkan masalah kepada kami,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu pelarian Rohingya selepas melancarkan Jilid 2 buku yang mengandungi surat terpilih beliau kepada para pemimpin dunia ketika menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun, di sini Isnin.

Dilaporkan sebanyak 1,158 pendatang asing Rohingya dan Bangladesh termasuk kanak-kanak dan wanita mendarat dengan bot di Langkawi baru-baru ini, kebanjiran beramai-ramai yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ditanya mengenai pelarian Vietnam yang dibawa masuk ke Malaysia semasa pentadbirannya, Dr Mahathir berkata: “Kami bawa masuk pelarian Vietnam dan wujudkan satu pulau (Pulau Bidong) khas untuk mereka. Tetapi ia hanya untuk tujuan transit dan mereka ditempatkan di situ sebelum pergi ke tempat lain.

“Kami banyak membantu mereka. Tetapi masalah Rohingya ini terlalu besar untuk dikendalikan Malaysia sendirian. Saya tidak fikir Malaysia berikan suaka kepada mana-mana pelarian Vietnam.”

Dr Mahathir turut menyuarakan rasa kecewa kerana pejuang demokrasi Myanmar dan pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi tidak memberikan perhatian terhadap masalah dihadapi etnik Rohingya beragama Islam.

Terdahulu semasa menjawab soalan daripada audiens, Dr Mahathir berkata Myanmar perlu memberikan layanan adil terhadap isu Rohingya dan menyelesaikannya secara efisien di negara mereka dan tidak membiarkannya ‘melimpah’ ke negara lain. Kepada soalan berkaitan kumpulan militan IS, beliau berkata: “Islam melarang melakukan pembunuhan sama ada orang Islam atau bukan Islam. Al-Quran menggariskan supaya bertolak ansur dengan agama lain. Ini yang diajar dalam Quran. Kita boleh banyak belajar daripada Al-Quran tetapi kita tidak berbuat demikian.

“Saya dapati isi kandungan dalam Quran, akan menjadikan anda seorang yang berjaya dan amat mesra, dan dapat membantu satu sama lain, tidak kira sama ada anda Islam atau bukan Islam”.

Buku bertajuk “Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders” merupakan susulan kepada Jilid 1 terbitan tahun 2008, yang mendapat sambutan hangat daripada pembaca hingga diulang cetak sembilan kali. Editor buku berkenaan Tan Sri Abdullah Ahmad berkata buku itu memuatkan 73 surat Dr Mahathir yang belum pernah disiarkan, dua surat lebih banyak daripada Jilid 1, mendasari urusan diplomasi Malaysia dan antarabangsa sepanjang tempoh 1987-2003, terutama antara Malaysia dan Singapura. – Bernama