ASEAN perlu pasaran modal tunggal

ASEAN perlu pasaran modal tunggal

MANILA, 25 Ogos (Bernama) – Pembentukan pasaran modal tunggal dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) amat penting kerana ia akan menghasilkan kesalinghubungan kewangan lebih baik dalam rantau, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Group, John Chong.

Katanya kesalinghubungan itu akan merangkumi semua aspek termasuk perbankan dan pelaburan selain memberi manfaat kepada syarikat-syarikat di negara anggota apabila perniagaan mereka memasuki peringkat lebih tinggi.

“Pasaran tunggal membawa kesan positif kerana kami boleh mencapai mereka yang mempunyai modal dan mereka yang memerlukan modal. Kami akan menjadi perantara antara dua pihak.

“Bagi Maybank, kesalinghubungan serantau adalah kekuatan kami dan ini akan membantu menghubungkan pelanggan kami dengan peluang perniagaan dalam ASEAN,” katanya kepada Bernama di luar Invest ASEAN, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Group, John Chong.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Group, John Chong.

Chong berkata langkah mewujudkan pasaran tunggal adalah seiring dengan objektif Komuniti Ekonomi ASEAN iaitu pengaliran bebas barangan, perkhidmatan, tenaga kerja mahir, pelaburan dan modal di dalam rantau.

Maybank satu-satunya bank ASEAN yang mempunyai operasi di semua negara ASEAN dengan lebih 1,100 cawangan.

Maybank Kim Eng iaitu bahagian perbankan pelaburan Maybank, mempunyai operasi di 10 buah negara di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA