ASEAN perlu saringan seragam di pintu masuk

ASEAN perlu saringan seragam di pintu masuk

ROM, 3 Dis (Bernama) – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya negara-negara anggota ASEAN menyediakan satu sistem saringan seragam di semua pintu masuk seperti yang dilaksanakan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk mengekang penyusupan penjenayah, pengganas dan pendatang tanpa izin merentasi sempadan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap negara ASEAN harus mempunyai sistem saringan penumpang yang maju, sistem pengenalpastian biometrik dan pengimbas pengecaman wajah, sejajar dengan pembentukan Komuniti ASEAN bulan ini.

“Negara-negara anggota ASEAN harus mempunyai sistem saringan keselamatan sempadan serentak dengan dokumentasi dan menggunakan sistem yang seragam,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam pada hari terakhir lawatannya ke Itali.

Ahmad Zahid berkata, semasa lawatan rasmi tiga hari beliau di Itali, beliau mendapati dengan sistem yang seragam, negara yang menjadi anggota EU berjaya mengatasi masalah kebanjiran pelarian dari utara Afrika dan Eropah Timur yang menimbulkan ancaman kepada jenayah dan keganasan rentas sempadan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada para wartawan pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke Rom, Itali. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada para wartawan pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke Rom, Itali. – Bernama

Katanya beliau mengadakan pertemuan yang amat bermakna dengan rakan sejawatan Itali Angelino Alfano, Ketua Polis Itali Alessandro Pansa dan ketua Jabatan Kebebasan Sivil dan Imigresen Mario Morcone semasa lawatan itu.

Ahmad Zahid berkata sistem keselamatan sempadan Itali mungkin boleh diterima pakai di ASEAN dan pada masa ini hanya Malaysia dan Singapura mempunyai sistem saringan yang maju seperti itu.

“Pelaksanaan sistem itu mungkin mengambil sedikit masa untuk direalisasikan selepas Komuniti ASEAN telah dibentuk,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Kabinet Malaysia telah meminta beliau untuk menyediakan laluan khas untuk rakyat ASEAN bagi memudahkan kemasukan segera ke negara ini.

ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.