ASEAN perlu tangani jenayah baru rentas sempadan

ASEAN perlu tangani jenayah baru rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) – Perkembangan baharu jenayah rentas sempadan seperti yang dikenal pasti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) harus ditangani secara teliti oleh ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sebab itu jugalah Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan yang dicadangkan Malaysia harus diguna pakai dan ditandatangani 10 anggota ASEAN.

“Semua negara anggota ASEAN menandatangani Konvensyen Jenayah Rentas Sempadan PBB (UNTOC), jadi ia memerlukan kesediaan di pihak kita untuk menyiapkan diri menghadapi perubahan yang akan berlaku di masa hadapan membabitkan kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kali ke-10 dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Ekstrem, di sini hari ini.

Menurut Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah, corak baharu jenayah rentas sempadan antaranya termasuk perdagangan haram membabitkan warisan semula jadi dan budaya, hidupan liar, produk berasaskan kayu, sisa elektrik dan elektronik atau e-sisa, bahan yang mengurangkan lapisan ozon dan barangan palsu pengguna.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama pemimpin ASEAN selepas menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-10 mengenai Jenayah Sempadan, di Kuala Lumpur elmarin. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama pemimpin ASEAN selepas menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-10 mengenai Jenayah Sempadan, di Kuala Lumpur elmarin. – Bernama

Sementara itu, jenayah rentas sempadan tradisi pula terdiri daripada pemerdagangan manusia, senjata serta dadah, jenayah siber, lanun, jenayah berkaitan ekonomi dan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jenayah rentas sempadan memberi implikasi besar kepada kestabilan, keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman awam sesebuah negara.

“Ia memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat sehinggakan usaha menangani jenayah terancang dan rentas sempadan adalah kebimbangan utama dalam keselamatan pada abad ke-21,” tambah Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid turut menjelaskan ASEAN telah lama sedar ancaman seperti itu dan mengambil langkah segera termasuk usaha bersepadu menangani masalah berkenaan sejak awal tahun 70an. Usaha itu semakin penting sekarang ketika 10 anggotanya bersedia merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

Mesyuarat dwitahunan AMMTC empat hari itu yang memasuki hari kedua hari ini akan menyaksikan penerimaan pemimpin ASEAN terhadap Deklarasi Kuala Lumpur dalam Menangani Jenayah Merentas Sempadan serta Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pergerakan Tidak Teratur Manusia di Asia Tenggara.