ASEAN tawar nilai penuh MNC

ASEAN tawar nilai penuh MNC

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) – ASEAN boleh menawarkan rantaian nilai penuh kepada syarikat multinasional (MNC) berikutan kepelbagaian pengkhususan industri di rantau ini, yang menjadikannya lebih menarik kepada pelabur.

Ini berdasarkan kajian bertajuk, The ASEAN Community: Capturing the Zeitgeist of Rising Asia oleh syarikat perkhidmatan profesional multinasional yang berpangkalan di Amsterdam, TMF Group.

Kajian itu dilaksanakan untuk meninjau bagaimana perniagaan antarabangsa dapat memanfaatkan potensi rantau ini yang semakin berkembang.

Ia menunjukkan Singapura dan Malaysia khusus dalam produk elektronik, Thailand sebagai pengeluar utama barangan pengguna dan makanan yang diproses, manakala Vietnam dan Kemboja menumpukan kepada pakaian.

Ia turut menyatakan bahawa Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Filipina, pengeluar dan pengeksport utama sumber asli seperti minyak sawit, getah, tebu, beras, koko, kayu, petroleum, gas asli, arang batu dan bijih timah.

Ketua bagi Asia Pasifik TMF Group Paolo Tavolato dalam kenyataan berkata penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan menyediakan peluang yang unik kepada rantau ini untuk menggantikan China dalam memberikan MNC rantaian nilai penuh untuk perniagaan mereka.

“Berikutan penduduk China yang berusia dan tenaga kerja menjadi lebih mahal, AEC merupakan alternatif terbaik, dan melalui integrasi vertikal dan horizontal ekonomi Asia Tenggara, ia akan merangsang pelaburan antara rantau, hubungan perdagangan dan perniagaan yang akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dan asing,” katanya.

Menurut TMF Group, langkah penting untuk era baharu ini bagi rantau ini ialah penghapusan halangan bukan tarif (NTB).

“Penghapusan NTB merupakan yang paling sukar untuk dilaksanakan berikutan kebanyakan langkah populis digubal untuk melindungi industri negara strategik.

“Cabaran dalam penghapusan NTB ialah saluran tunggal untuk import, langkah-langkah kawalan harga, subsidi sumber asli dan layanan istimewa perusahaan milik negara.

“Walaupun penarikan NTB mungkin menyebabkan masalah jangka pendek, ia akhirnya akan memberi manfaat berikutan persaingan akan mendorong industri ini untuk meningkatkan rantaian nilai dan produktiviti,” kata Tavolato.

Kajian oleh Institut Asia Tenggara menunjukkan penghapusan tarif dan NTB sepenuhnya di ASEAN boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan di rantau ini dan meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus.

Penubuhan AEC dijangka menjana antara AS$280 bilion kepada AS$615 bilion (bersamaan dengan lima peratus kepada 12 peratus daripada unjuran KDNK ASEAN) dalam nilai ekonomi tahunan menjelang 2030.

ARTIKEL YANG SAMA