ASEAN tubuh Tabung Amanah

ASEAN tubuh Tabung Amanah

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Perdana Menteri

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Negara Brunei Darussalam menyokong bantuan kemanusiaan yang berterusan terhadap pendatang asing yang tidak teratur yang telah dihulurkan oleh Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Di samping itu, negara kita juga menyuarakan sokongan bagi penubuhan satu Tabung Amanah khusus untuk sumbangan secara sukarela daripada negara-negara ahli ASEAN dan masyarakat antarabangsa bagi keperluan bantuan kemanusiaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar ketika menghadiri ‘Emergency ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime Concerning Irregular Movement of Persons in Southeast Asia Region’ bertempat di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2 Julai lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan bahawa negara-negara ahli ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama yang lebih erat di antara agensi-agensi penguatkuasaan termasuk perkongsian maklumat perisikan dan penubuhan unit perisikan pelabuhan serta penggunaan semua keupayaan dan kaedah undang-undang yang sedia ada bagi memastikan penjenayah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Penyelesaian jangka panjang mengenai masalah ini ialah untuk mengelak pendatang asing yang tidak teratur keluar dari negara mereka dan apa yang penting ialah untuk mengetahui masalah utama kenapa ia berlaku dan bukan sahaja akibatnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin (5 kiri) bergambar ramai bersama menteri-menteri negara ASEAN semasa pembukaan rasmi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di KL.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin (5 kiri) bergambar ramai bersama menteri-menteri negara ASEAN semasa pembukaan rasmi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di KL.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, yang membincangkan tiga isu utama iaitu senario terhadap pendatang asing yang tidak teratur di Asia Tenggara (melalui darat dan laut), hubung kait di antara pendatang asing yang tidak teratur dengan penyeludupan dan perdagangan manusia dan pelan tindakan/hala tuju untuk menyelesaikan isu-isu ini.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, mesyuarat itu juga bersetuju beberapa isu terutama sekali menyokong cadangan Republik Singapura bagi penubuhan Tabung Amanah di bawah pentadbiran Sekretariat ASEAN bagi sumbangan sukarela, membuat analisis dan kajian mengenai hubung kaitnya dengan penyeludupan dan perdagangan manusia yang dicadangkan oleh Indonesia.

Selain, mengukuhkan usaha agensi-agensi penguatkuasaan dan untuk memanfaatkan sepenuhnya ‘Treaty on Mutual Legal Assistance in Criminal Matters’ yang dicadangkan oleh Negara Brunei Darussalam dan mempertimbangkan isu penyeludupan manusia di bawah kelolaan ‘Senior Official Meeting on Transnational Crime’ (SOMTC) dan ‘ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime’ (AMMTC) yang dicadangkan oleh Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir ke mesyuarat tersebut bersama rombongan Yang Berhormat Pehin ialah Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA