ASEANAPOL mahu perkasa mekanisme perangi kumpulan militant

ASEANAPOL mahu perkasa mekanisme perangi kumpulan militant

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) – Ketua-ketua Polis Asean (ASEANAPOL) akan memperkasakan lagi mekanisme perkongsian maklumat dengan agensi penguatkuasa luar negara susulan pendekatan itu berjaya melumpuhkan cubaan serangan kumpulan pengganas di Asia terutamanya Kumpulan Pengganas Daesh.

Pengerusi ASEANAPOL, Jeneral Badrodin Haiti berkata perkongsian maklumat itu dengan polis Amerika Syarikat (AS) dan Australia dilihat berupaya menggagalkan cubaan serangan kumpulan militan Indonesia dan China pada penghujung tahun lepas.

Badrodin, yang juga Ketua Polis Nasional Indonesia berkata, kerjasama perkongsian itu juga membawa kejayaan pihaknya menahan tiga warganegaranya, yang disyaki berniat menyusup masuk ke Syria untuk menjalani latihan berkaitan Kumpulan Pengganas Daesh di kem latihan di negara Asia Barat, semalam.

“Mereka ini pulang dari Turki selepas polis Malaysia mengesan mereka kerana disyaki mahu ke Syria untuk menyertai Kumpulan Daesh di sana dan ditahan di Surabaya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL di sini.

ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Ketua Polis Nasional Indonesia Jeneral Badrodin Haiti (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Eksekutif bagi Sekretariat ASEANAPOL yang bakal berundur, SAC Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Wahab (dua dari kiri) dari Brunei dan bakal Pengarah Eksekutif baru, Brigedier Jeneral (P) Yohanes Agus Mulyono (kiri) dari Indonesia dan Pengarah bagi Perkhidmatan Polis Sekretariat ASEANAPOL yang berundur, ACP Mohamad Anil Shah Abdullah (dua dari kanan) dari Malaysia dan bakal Pengarah Perkhidmatan Polis, Superitenden Kanan Polis Ferdinand Realtor Pieadad Bartolome (kanan) dari Filipina di Kuala Lumpur kelmarin. – Bernama

Pada sidang media itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkongsian maklumat dan pengalaman melalui hubungan bilateral yang dijalankan polis Malaysia bersama anggota polis dalam ASEANAPOL dan negara luar lain penting dalam memantau sebarang kegiatan ekstremisme daripada terus menular.

“Mekanisme itu juga merupakan salah satu komitmen yang dipamerkan Malaysia bersama negara luar lain dalam menghadapi ancaman pengganas,” katanya.

Ditanya bilakah Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) akan beroperasi, Khalid berkata pusat itu masih dalam pembinaan dan dijangka disiapkan dalam masa terdekat.

Pada 21 Oktober lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Malaysia akan mewujudkan Pusat RDC3 untuk memerangi penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan menerusi Internet, setelah AS memilih negara ini atas komitmennya dalam menangani ancaman keganasan antarabangsa dan kegiatan jenayah rentas sempadan.

Pada majlis serah terima tugas itu Brig Jen Polis Yohanes Agus Mulyono dari Indonesia mengambil alih jawatan Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL daripada SAC Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Pengiran Haji Omar dari Brunei.

Senior Supt Ferdinan Realtur Piedad Bartolome dari Filipina pula dilantik Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat ASEANAPOL yang baharu menggantikan ACP Mohamad Anil Shah Abdullah dari Malaysia.

Mereka mengambil alih jawatan yang mempunyai tempoh perkhidmatan selama dua tahun bersama ASEANAPOL, bermula secara rasmi pada 1 Jan lepas.

ARTIKEL YANG SAMA