ASEM kutuk serangan Nice

ASEM kutuk serangan Nice

ULAN BATOR, 15 Julai – Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di ibu negeri Mongolia hari ini dimulakan dengan saat bertafakur berikutan serangan-serangan di Nice, selatan Perancis yang telah membunuh kira-kira 80 orang dan mencederakan lebih 100 orang.

“Ia adalah hari dukacita buat Perancis, Eropah dan kesemua kita di sini di Mongolia,” ujar Presiden Kesatuan Eropah (EU), Donald Tusk.

“Kami bersatu padu dengan orang dan kerajaan Perancis dalam perjuangan mereka menentang keganasan.” Dalam ucapan alu-aluan tuan rumah, Presiden Mongolia Tsakhia Elbegdorj, berkata “ia berita yang sangat sedih dari Perancis.”

Beliau mengajak 34 ketua kerajaan dan negeri dari 51 negara di Eropah dan Asia yang berada di sana untuk bertafakur buat mangsa-mangsa kejadian.

Robert Fico, Perdana Menteri Slovakia, yang ketika memegang jawatan presiden Majlis EU, memberitahu dalam mesyuarat itu bahawa perbincangan mereka perlu memasukkan renungan terhadap apa yang berlaku di Nice.

“Perjuangan menentang pengganasan dalam kalangan pihak keutamaan tertinggi kerajaan kita. Kita mengecam serangan-serangan pengganas dalam apa jua cara, di mana dan bila mana ia berlaku,” ujar Fico.

Persidangan itu sudah pun dibayangi oleh pertikaian ke atas tuntutan kawasan China di Laut China Selatan.

Mahkamah Kekal Timbang Tara di The Hague pada Selasa lepas menegakkan aduan yang dibawa oleh Filipina mengenai pulau-pulau di Laut China Selatan, yang memegang kunci laluan perkapalan dan dipercayai kaya dengan sumber-sumber mineral lautan.

China dalam pada itu menolak untuk turut serta dalam timbang tara itu dan mengatakan keputusan itu sebagai batal dan tidak sah. ASEM ditubuhkan pada 1996 untuk mendalami hubungan di antara Asia dan Eropah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA