Aset FIFA disita

Aset FIFA disita

ZURICH, 15 Sept (AFP) – Pangsapuri di pergunungan Alps adalah antara aset yang disita dalam siasatan kes rasuah ke atas FIFA, peguam negara Switzerland berkata hari ini sambil memberi amaran bahawa siasatan itu belum lagi mencecah ‘separuh masa’.

Siasatan Switzerland yang mensasarkan proses bidaan untuk Piala Dunia 2018 dan 2022 bermula Mei lalu selepas Jabatan Kehakiman AS membuka pertuduhan terhadap 14 individu yang dituduh melakukan rasuah secara besar-besaran di dalam badan induk bola sepak dunia itu.

Penyiasat Swiss telah menggeledah rumah-rumah, merampas data elektronik dan meneliti 121 akaun bank, Peguam Negara Switzerland Michael Lauber memberitahu pemberita ketika bercakap bersama rakan sejawatannya dari Amerika, Loretta Lynch. Menurut beliau lagi, siasatannya ‘masih jauh daripada rehat separuh masa’.

“Aset kewangan telah disita termasuk hartanah, sebagai contoh rumah pangsa di Alps Switzerland,” kata Lauber, walaupun beliau tidak menamakan mana-mana individu yang mungkin boleh dikenakan tuduhan jenayah.

Loretta Lynch (kanan) dan Michael Lauber tiba untuk sidang akhbar bersama di Zurich semalam. – AFP
Loretta Lynch (kanan) dan Michael Lauber tiba untuk sidang akhbar bersama di Zurich semalam. – AFP

Pegawai FIFA sebelum ini berkata, Rusia dan Qatar yang dianugerahkan Piala Dunia 2018 dan 2022, boleh dilucutkan hak penganjuran jika terdapat bukti yang jelas tentang rasuah dalam proses bidaan.

Kes Lynch – yang termasuk pertuduhan terhadap sembilan bekas pegawai FIFA dan lima eksekutif pemasaran sukan – berasingan daripada siasatan Swiss, walaupun dia menekankan kedua-dua negara bekerjasama dalam seluruh siasatan. Pendakwa tertinggi AS berkata dia menjangkakan ‘dakwaan tambahan terhadap individu dan entiti’ tetapi enggan mengulas sama ada Presiden FIFA Sepp Blatter juga akan didakwa.

“Skop penyiasatan kita tidak terhad dan kami hanya mengikut keterangan ke mana ia membawa kami,” Lynch berkata lagi sambil menambah siasatan itu telah ‘berkembang sejak Mei’.

ARTIKEL YANG SAMA