Aset industri perbankan China meningkat

Aset industri perbankan China meningkat

BEIJING, 12 Mei (Bernama) – Jumlah aset industri perbankan di China mencecah sehingga 208.6 trilion yuan (AS$32.09 trilion) pada penghujung bulan Mac, naik 16.7 peratus dari tahun ke tahun, lapor agensi berita Xinhua.

Liabiliti kasar berjumlah sebanyak 192.5 trilion yuan, meningkat sebanyak 16.1 peratus dari tahun ke tahun, katanya dengan memetik kenyataan Suruhanjaya Pengawalseliaan Perbankan China.

Katanya, industri perbankan terus memberikan sokongan kredit kepada petani, firma-firma kecil dan projek-projek yang berkaitan dengan kehidupan rakyat dalam suku pertama.

Hujung Mac turut merekodkan pinjaman tertunggak yang berkaitan dengan pertanian berjumlah sebanyak 26.8 trilion yuan, menokok sebanyak 9.2 peratus dari tahun ke tahun.

Pinjaman-pinjaman yang tertunggak kepada firma-firma kecil bertambah sebanyak 13.5 peratus daripada setahun sebelum ini kepada 24.3 trilion yuan.

Pinjaman pengguna kad kredit dan pinjaman projek-projek perumahan mampu milik, masing-masing meningkat sebanyak 20.4 peratus dan 63 peratus, katanya. Risiko dalam industri perbankan China secara amnya berada dalam keadaan terkawal.

Nisbah pinjaman tidak berbayar bank-bank perdagangan meningkat kepada 1.75 peratus pada akhir Mac, naik sebanyak 0.07 mata peratus daripada hujung bulan Disember.

Sektor perbankan mencatat pertumbuhan keuntungan yang stabil pada suku pertama.

ARTIKEL YANG SAMA