Aset perbankan Islam sumbang 27% di M’sia

Aset perbankan Islam sumbang 27% di M’sia

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Aset perbankan Islam kini menyumbang 27 peratus kepada jumlah sistem perbankan di Malaysia, manakala penembusan Takaful sebanyak 14.8 peratus daripada jumlah penduduk, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kewangan Islam juga menyediakan pembiayaan kepada semua segmen masyarakat tanpa mengira kepercayaan, bangsa dan jantina.

“Daripada tidak sampai empat bank Islam dan pengendali takaful sebelum 2000, kini terdapat 27 penggiat yang menawarkan lebih 100 produk kewangan melepasi kewangan asas,” katanya pada perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-13 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh bekas timbalan gabenor dan Pengarah Bank Negara Malaysia Datuk Zamani Abdul Ghani.

Ahmad Zahid berkata sejak lebih tiga dekad, kewangan Islam telah berkembang dan meningkat maju serta menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi sebenar.

Beliau berkata saiz Pasaran Modal Islam Malaysia (ICM) telah mencapai RM1.7 trilion, atau 60 peratus daripada jumlah nilai pasaran modal pada akhir 2015, menjadikan Malaysia peneraju dunia dalam produk ICM.

Bagaimanapun, beliau berkata kewangan Islam tidak boleh leka, dan perlu berusaha untuk menjadi sistem kewangan terbaik bagi menarik orang ramai, Islam dan bukan Islam.

“Kewangan Islam mesti teguh dan berdaya tahan, dan perlu terus menjajarkan kedudukannya jika ia mahu terus dihormati dan diktiraf oleh dunia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata di peringkat global, industri kewangan Islam masih terlalu kecil berbanding saiz potensi pasaran yang meliputi lebih satu billion umat Islam di seluruh dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA