Aset perbankan Islam sumbang 27% sistem perbankan Malaysia

Aset perbankan Islam sumbang 27% sistem perbankan Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Aset perbankan Islam kini melebihi satu perempat iaitu 27 peratus daripada keseluruhan aset sistem perbankan Malaysia, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata aset perbankan Islam berkembang mengatasi sasaran 20 peratus seperti digariskan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan 2001-2010.

“Sejak tiga dekad lepas, kewangan Islam di Malaysia mengalami evolusi yang mencatatkan pelbagai pencapaian.

“Kewangan Islam muncul sebagai segmen penting dalam sistem kewangan, daripada pasaran kewangan Islam secara kecil-kecilan kini kewangan Islam muncul sebagai arus perdana,” katanya ketika melancarkan Manual Tenaga Pengajar mengenai Piawaian Syariah Murabahah di sini, hari ini.

Gabenor BNM turut berkata berbanding kurang daripada empat bank Islam dan penggiat takaful sebelum 2000, kini 27 peserta menyediakan lebih 100 produk kewangan melebihi tawaran kewangan asas.

“Industri itu dicirikan dengan peningkatan daya saing dan inovasi.

“Pelancaran Platform Akaun Pelaburan baru-baru ini, yang menyediakan pasaran dalam talian untuk menyesuai padan pelabur berpotensi dengan penerokaan berdaya maju, merupakan usaha terkini dengan kerjasama industri untuk meningkatkan lagi tawaran bank Islam,” katanya.

Muhammad turut berkata penerimaan terhadap takaful juga sangat memberangsangkan dengan kadar penembusan meningkat kepada 14.8 peratus daripada jumlah penduduk.

Sementara itu, pasaran sukuk Malaysia mencakupi lebih daripada 50 peratus sukuk global terkumpul sejak 16 tahun lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA