ASG-7 Bermula 21 Nov

ASG-7 Bermula 21 Nov

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Tinggal 30 hari sahaja lagi sebelum Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) untuk edisi ketujuh yang dijadualkan berlangsung dari 21 sehingga 29 November depan.

ASG bakal mempertandingkan tujuh acara daripada lima sukan teras iaitu olahraga, golf, sepak takraw, badminton dan renang serta satu sukan pilihan iaitu bola jaring dan sukan tambahan iaitu pencak silat.

Sementara itu, pencapaian terbaik negara dalam ASG adalah pada 2012 dengan enam perak dan lapan gangsa yang kesemuanya daripada acara silat, diikuti dua perak dan lapan gangsa pada 2013, juga kesemuanya daripada acara silat, dan tahun lalu negara berjaya memperoleh satu perak (200 meter lelaki) dan tiga gangsa (1 takraw & 2 wushu).

ASG adalah gabungan kesemua 12 sukan dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC) digabungkan dan dipertandingkan secara karnival seakan Sukan SEA oleh negara ahli secara bergilir-gilir setiap tahun.

Pengiraan detik ASG-7 yang akan berlangsung mulai 21 sehingga 29 November depan.
Pengiraan detik ASG-7 yang akan berlangsung mulai 21 sehingga 29 November depan.

Sebanyak lima jenis sukan telah dikategorikan sebagai sukan teras yang wajib dipertandingkan oleh setiap negara tuan rumah iaitu olahraga, golf, sepak takraw, badminton dan renang.

Di samping itu, negara tuan rumah diberi keistimewaan untuk memperkenalkan satu acara sukan sebagai sukan tambahan.

ASSC memperkenalkan ASG pada Disember 2008 dengan edisi pertamanya pada Julai 2009 berlangsung di Thailand.

Ia kemudian disusuli Malaysia (Julai 2010), Singapura (Jun-Julai 2011), Indonesia (Jun-Julai 2012), Vietnam (Jun 2013) dan Filipina (November-Disember 2014).