ASG-7 bermula 21 November depan

ASG-7 bermula 21 November depan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Tinggal 132 hari sahaja lagi sebelum Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) untuk edisi ketujuh yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 29 November ini.

Mempertandingkan tujuh acara daripada lima sukan teras iaitu olahraga, golf, sepak takraw, badminton dan renang serta satu sukan pilihan iaitu bola jaring dan sukan tambahan iaitu pencak silat, dijangka 1,088 atlet daripada lapan negara peserta akan bersaing dalam ASG-7 itu nanti.

Sehubungan dengan itu Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Kali Ke-7 Brunei Darussalam Tahun 2015 ke arah memastikan ASG-7 itu nanti dapat dijalankan dengan lancar.

Mesyuarat di Bilik Persidangan, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie kelmarin telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Haji Derus selaku Setiausaha dan Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar selaku Timbalan Setiausaha.

Jawatankuasa Tertinggi ASG-7 Negara Brunei Darussalam 2015 sedang bermesyuarat kelmarin.
Jawatankuasa Tertinggi ASG-7 Negara Brunei Darussalam 2015 sedang bermesyuarat kelmarin.

Antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah tarikh, jenis sukan dipertandingkan, venue, jumlah pingat dipertandingkan, anggaran jumlah delegasi (pegawai & atlet), rancangan penginapan kontinjen, cadangan jadual keseluruhan program, ringkasan jumlah besar keseluruhan anggaran peruntukan dan aturcara perasmian dan penutupan.

Pencapaian terbaik negara adalah pada 2012 dengan enam perak dan lapan gangsa yang kesemuanya dari acara silat, diikuti dua perak dan lapan gangsa pada 2013, juga kesemunya dari acara silat, dan tahun lalu negara berjaya memperoleh satu perak (200 meter lelaki) dan tiga gangsa (1 takraw & 2 wushu).

ASG adalah gabungan kesemua 12 sukan dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN digabungkan dan dipertandingkan secara karnival seakan Sukan SEA oleh negara ahli secara bergilir-gilir setiap tahun.

Sebanyak lima jenis sukan telah dikategorikan sebagai sukan teras yang wajib dipertandingkan oleh setiap negara tuan rumah iaitu olahraga, golf, sepak takraw, badminton dan renang, manakala tujuh jenis sukan dikategorikan sebagai sukan pilihan iaitu gimnastik, bola keranjang, bola jaring, bola tampar, pingpong, tenis dan hoki. Di samping itu, negara tuan rumah diberi keistimewaan untuk memperkenalkan satu acara sukan sebagai sukan tambahan.

ASSC telah memperkenalkan ASG pada Disember 2008 dengan edisi pertamanya pada Julai 2009 berlangsung di Thailand, disusuli Malaysia (Julai 2010), Singapura (Jun-Julai 2011), Indonesia (Jun-Julai 2012), Vietnam (Jun 2013) dan Filipina (November-Disember 2014).

Sebagai negara ahli kepada ASSC sejak 1978, Brunei sangat komited mendokong hasrat untuk menjadikan ASG sebagai platform yang dipercayai boleh menyatupadukan generasi muda khususnya di kalangan pelajar sekolah di negara-negara ASEAN melalui program dan kegiatan sukan yang teratur.

Permintaan negara ahli agar Brunei menjadi tuan rumah ASG mula disuarakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pengurusan ASG di Singapura pada 2012.

Walau bagaimanapun persetujuan untuk menjadi tuan rumah pada 2015 hanya dimaklumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan ASG-4 di Surabaya Indonesia setelah Filipina menyuarakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah ASG-6 pada 2014.

ARTIKEL YANG SAMA