ASG7: Tiga emas sasaran kontinjen negara

ASG7: Tiga emas sasaran kontinjen negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Bukan satu dan bukan juga dua pingat emas yang menjadi sasaran Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-7 Brunei Darussalam 2015 (ASG7) yang akan berlangsung pada 22-27 November 2015 itu tetapi tiga.

Enam tahun berturut-turut menyertai ASG sejak kali pertama pada 2009, Brunei Darussalam belum pernah meraih pingat emas, maka sudah sampai masanya untuk atlet negara merebut peluang bersaing di negara sendiri dengan memastikan pingat emas dikalongkan ke leher mereka kali ini. Itulah sasaran munasabah yang dikongsikan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan Kementerian Pendidikan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus selaku Chef de Mission Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya lagi semasa Sidang Media ASG7di Bilik Sekretariat ASG7, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie hari ini, dua sukan yang dinilai mampu memberikan pingat emas kepada negara ialah golf dan pencak silat. Pencapaian terbaik negara adalah pada ASG4 2012 dengan pungutan 6 perak dan 8 gangsa, kesemuanya daripada pencak silat, disusuli dengan 2 perak dan 8 gangsa pada 2013, juga kesemuanya daripada pencak silat, kongsi Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja dan Ketua Sekretariat ASG7 seterusnya mengongsikan bahawa tahun lalu atlet negara membawa pulang 1 perak daripada olahraga (lelaki lari 200 meter) dan 3 gangsa iaitu satu daripada sepak takraw dan dua daripada wusyu.

(Dari kiri) Dayang Sharinah, Pengiran Suhaimi, Haji Abdul Rahim, Pengiran Haji Rosli dan Awang Roslin ketika sidang media ASG7di Bilik Sekretariat ASG7, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie.
(Dari kiri) Dayang Sharinah, Pengiran Suhaimi, Haji Abdul Rahim, Pengiran Haji Rosli dan Awang Roslin ketika sidang media ASG7di Bilik Sekretariat ASG7, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie.

Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Abdul Rahim bin Derus selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja ASG7 yang mempengerusikan sidang media berkenaan telah mengongsikan bahawa sejumlah 80 pingat emas daripada 7 acara sukan.Beliau menerangkan 30 pingat emas adalah dari olahraga, 26 butir daripada renang, sepuluh dari pencak silat, tujuh dari badminton, empat dari golf, dua daripada sepak takraw dan satu lagi daripada bola jaring akan menjadi rebutan seramai 628 atlet dari 8 negara ASEAN.

Brunei Darussalam akan disertai seramai 85 atlet, Indonesia seramai 95 atlet, Lao PDR seramai 13 orang, Filipina seramai 72 orang, Singapura seramai 97 orang, Thailand seramai 112 orang, Vietnam seramai 31 orang dan Malaysia selaku juara bertahan akan menghantar seramai 123 orang, kongsinya lanjut.

Pengiran Suhaimi turut memberikan penjelasan bahawa para atlet yang mewakili setiap negara tidak semestinya warganegara sesebuah negara itu kerana ia dibukakan kepada pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah yang berdaftar belajar di sesebuah negara itu walaupun dia warganegara asing.Semasa sidang media itu, Pengiran Suhaimi telah turut mengongsikan berkaitan atur cara Majlis Pembukaan Rasmi ASG7 pada pukul 2:00 petang, 22 November dan juga Majlis Penutupan Rasmi ASG7 pada pukul 8:15 malam, 27 November nanti. Sehubungan itu Haji Abdul Rahim menjemput orang ramai terutama ibu bapa atau penjaga atlet supaya beramai-ramai datang ke venue perlawanan bagi memeriahkan lagi ASG7.

Beliau menjelaskan venue bagi olahraga adalah di Kompleks Sukan Tutong, sepak takraw di dewan Sekolah Menengah Rimba II, golf di Royal Brunei Golf & Country Club, Jerudong, renang di Kompleks Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), badminton di Pusat Belia, bola jaring di Stadium Tertutup, KSNHB dan pencak silat di Dewan Serbaguna, KSNHB.

Hadir sama ke sidang media itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Kokurikulum, Awang Roslin bin Suhailee selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan ASG7 dan Pemangku Penolong Pengarah/Ketua Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan, Dayang Sharinah binti Haji Awang Suhaimi selaku Pengerusi Jawatankuasa Promosi, Perhubungan Awam dan Media ASG7. Perkembangan sepanjang berlangsungnya ASG7, boleh dilayari melalui laman sesawang rasmi kejohanan di http://asg7.moe.gov.bn.