Ashley Williams selamatkan Swansea

Ashley Williams selamatkan Swansea

SWANSEA, 19 Jan – Swansea memberi hadiah paling sempurna buat ketua jurulatih baharunya Francesco Guidolin apabila menewaskan Watford 1-0 seterusnya meloloskan diri daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris, semalam.

Guidolin diumumkan sebagai ketua jurulatih Swansea untuk bergandingan bersama pengurus sementara, Alan Curtis hanya beberapa jam sebelum sepak mula di Stadium Liberty.

Pengendali berusia 60 tahun dari Itali itu bakal memuktamadkan pemilihan pasukan dan bakal menentukan pemain buat pertama kalinya secara rasmi ketika berdepan Everton, Ahad ini.

Kehadiran Guidolin memberi kesan diinginkan apabila jaringan pertama Ashley Williams pada babak pertama menjamin kemenangan pertama Swansea dalam lima perlawanan terakhir di setiap kejohanan disertai mereka.

Ashley Williams diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan semasa menen-tang Watford di Stadium Liberty, kelmarin. - Reuters
Ashley Williams diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan semasa menen-tang Watford di Stadium Liberty, kelmarin. – Reuters

Kemenangan kedua Swansea dalam 13 perlawanan terakhir liga itu meletakkan mereka kini berada di atas Newcastle di kedudukan ke-17 dan Guidolin bakal menggalas tugasnya bersama kelab dengan satu mata di atas zon penyingkiran.

Dengan hanya satu kemenangan dalam tujuh perlawanan di bawah Curtis sejak dia menggantikan Garry Monk yang dipecat, Swansea seakan terpaksa untuk melakukan perubahan.

Sejak meninggalkan tugasnya di Udinese Mei tahun lalu, Guidolin pernah bekerja sebagai penyelia teknikal untuk tiga pasukan milik keluarga Pozzo – Udinese, Watford dan Granada – dan pastinya dia mempunyai ramuan terbaik untuk dikongsikan bersama Curtis. – AFP