Ashton Carter jumpa presiden Afghanistan

Ashton Carter jumpa presiden Afghanistan

BAGRAM, Afghanistan, 12 Julai – Setiausaha Pertahanan AS Ashton Carter tiba di Afghanistan hari ini bagi rundingan dengan Presiden Ashraf Ghani, beberapa hari selepas AS dan NATO berjanji akan terus mengekalkan ribuan tentera di negara bermasalah itu.

Carter terbang ke pangkalan udara Bagram yang terletak berhampiran Kabul dan dijangka menemui Ketua Eksekutif Abdullah Abdullah di ibu negara kemudian.

Lawatan ketua Pentagon itu menyusuli komitmen yang diperbaharui kepada Afghanistan dari NATO yang pada hujung minggu mengatakan bahawa ia akan mengekalkan pasukan tentera di sana, sekurang-kurangnya sehingga akhir 2017.

Kebanyakan adalah pasukan Amerika, tetapi kira-kira 40 buah negara telah menghantar tentera di sana. Peranan rasmi mereka ialah untuk melatih pasukan Afghanistan, yang kini bertanggung jawab bagi keselamatan negara mereka.

Di sebalik usaha antarabangsa besar-besaran selama hampir 15 tahun untuk menumpaskan Taliban, kumpulan itu bangkit semula dan menguasai kawasan-kawasan besar di Afghanistan dan telah berikrar akan terus menentang sehingga pasukan asing meninggalkan negara itu.

Ashton Carter ketika berjumpa dengan Presiden Afghanistan. - AP
Ashton Carter ketika berjumpa dengan Presiden Afghanistan. – AP

Presiden Barack Obama, yang dilantik lapan tahun lalu dengan janji akan menamatkan peperangan di Afghanistan dan Iraq, tidak dapat berbuat demikian memandangkan situasi keselamatan rapuh di kedua-dua negara itu.

Minggu lalu, beliau telah menangguhkan rancangan untuk mengurangkan bilangan tentera AS di Afghanistan dari 9,800 kepada 5,500 akhir tahun ini.

Sebaliknya, kira-kira 8,400 orang tentera AS akan terus berada di sana, memberi latihan dan bantuan udara kepada Afghanistan. Obama juga mengurangkan peraturan penglibatan yang memudahkan lagi tentera AS untuk mensasarkan Taliban.

Pasukan setempat mengetuai dalam menyediakan keselamatan pada tahun 2015, tetapi dalam kepayahan menangani serangan Taliban dan dalam mencegah serangan dari Kumpulan IS dan Al-Qaeda.

Lebih 5,000 pasukan keselamatan Afghanistan terbunuh tahun lalu, dan serangan berterusan. Taliban mengaku bertanggung jawab bulan lalu atas serangan berani mati yang mengorbankan lebih 30 orang kadet polis Afghanistan di Kabul.

Merumitkan lagi perkara seterusnya ialah rasuah yang sentiasa wujud dan dakwaan penganiayaan hak asasi kemanusiaan. – AFP