Asia berdepan realiti baharu ekonomi – PM Singapura

Asia berdepan realiti baharu ekonomi – PM Singapura

SINGAPURA, 12 Jan (Bernama) – Asia kini dalam proses penyesuaian dengan realiti baharu ekonomi, kata Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat, hari ini.

Sambil merujuk kepada ASEAN, beliau berkata, pelaburan awam terbukti kian penting menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, termasuk mempertingkat rangkaian pengangkutan sedia ada.

“Negara jiran kita seperti Indonesia dan Malaysia misalnya bertindak menjadikan cabaran kepada kelebihan menerusi pelaksanaan langkah pemansuhan subsidi akibat penyusutan harga minyak mentah,” katanya pada Sidang Prospek Kekayaan UBS, di sini, hari ini.

Teks ucapannya turut diserahkan kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Heng mengakui langkah pemulihan struktur sebagai mencabar kerana memerlukan komitmen berterusan kerajaan serta kerjasama daripada kalangan perniagaan dan orang ramai.

“Negara-negara Asia perlu meneruskan usaha bagi pembangunan fizikal infrastruktur, mempertingkat aspek pendidikan dan kemahiran selain turut mengukuhkan prasarana pasaran.

“Biarpun akan timbul desakan bagi penyelarasan dasar dari semasa ke semasa, apa yang pasti, keperluan untuk perubahan itu sememangnya jelas,” katanya.

Memetik unjuran berdasarkan Konsensus Ekonomi pada Oktober dan Disember 2015, beliau berkata, pertumbuhan pasaran sedang pesat membangun Asia secara keseluruhannya dijangka menyederhana pada kadar enam peratus bagi tempoh 2015 hingga 2020.

“Sudah pasti akan ada faedah demografi dan perbandaran yang boleh diraih dan kebanyakan negara Asia masih di peringkat pertumbuhan.

“Kumpulan kelas pertengahan yang semakin bertambah dan digalakkan untuk berbelanja lebih, akan menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan ini,” katanya.

Menurut Heng, walaupun kadar pertumbuhan enam peratus itu bukanlah suatu angka yang tinggi dari sudut sejarah, rantau Asia sebaliknya dijangka akan terus mengatasi (pertumbuhan) negara lain menerusi margin yang ketara.

Malah, kerajaan di rantau ini telah melancarkan pelbagai usaha serius bagi mempertingkat potensi pertumbuhan negara masing-masing, termasuk pemulihan struktur dan meningkatkan produktiviti, katanya.

“Walaupun usaha ini memakan masa bagi membuahkan sebarang hasil, ia jelas menunjukkan bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang amat kritikal,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA