Asia pacu lonjakan perdagangan global AS$68.5 trilion

Asia pacu lonjakan perdagangan global AS$68.5 trilion

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) – Asia kini berada pada kedudukan untuk memacu lonjakan perdagangan global kepada AS$68.5 trilion menjelang 2050, demikian unjuran laporan Trade Winds HSBC.

Menurut laporan tersebut, lonjakan itu yang diterajui oleh letusan perdagangan intra-Asia yang akan menganjak naik penguasaan eksport global kepada 27 peratus menjelang 2050 daripada 17 peratus sekarang, menandakan bermulanya gelombang ketiga globalisasi bersandarkan teknologi baharu dan integrasi ekonomi yang semakin meningkat.

Menurut Trade Winds penguasaan eksport global Asia Pasifik dijangka meningkat daripada sekitar satu pertiga pada 2015 kepada 46 peratus pada 2050, manakala penguasaan Eropah Barat diunjur menyusut kepada 22 peratus daripada 34 peratus dan Amerika Utara jatuh daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

“China dijangka menjarakkan kedudukannya sebagai pengeksport utama dengan pengaruh yang semakin meningkat di Asia menerusi inisiatif ‘One Belt, One Road’ dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

“India juga berpotensi untuk pertumbuhan yang kukuh dan dijangka mengatasi China,” demikian menurut laporan yang menjangka eksport barangan dari India bertumbuh pada kadar purata enam peratus setahun bagi tempoh 2025-2050, berbanding bawah lima peratus yang direkodkan oleh China.

“Kedudukan Asia sebagai peneraju teknologi dan inovasi rantaian bekalan memberi peluang unik kepada rantau itu untuk meraih manfaat daripada gelombang globalisasi yang seterusnya,” kata Ketua Serantau HSBC bagi Perbankan Komersial Asia Pasifik, Paul Skelton.

Laporan turut menjangka hampir tiga bilion rakyat menyertai kelompok kumpulan pertengahan menjelang 2050 dengan kebanyakannya daripada pasaran pesat berkembang, susulan anjakan demografik dan peningkatan ekonomi itu.

ARTIKEL YANG SAMA