Asia RND Biotech tanam pokok kurma

Asia RND Biotech tanam pokok kurma

PONTIAN, 27 Mei – Asia RND Biotech Bhd, syarikat perintis perladangan kurma di Johor, menyasarkan penanaman sehingga 3,000 pokok kurma di negeri itu sehingga akhir 2016.

Pengarah Urusan, Hauzrun Shah Jefri Din berkata kesemua pokok kurma hibrid tropika jenis Safawi Madu telah dan akan ditanam di tiga ladang seluas 14 hektar di Pekan Nenas dan Pengkalan Raja, di sini serta Pagoh dekat Muar.

“Setakat ini, kita sudah menanam 91 pokok kurma di kawasan seluas 1.6 hektar di Ladang Kurma Empire Agro Farm, Kampung Maju Jaya, di Pekan Nenas, selepas dipindahkan dari sebuah ladang kurma, di Tanah Merah, Kelantan, pada Oktober lepas.

Hauzrun Shah Jefri Din menunjukan hasil buah kurma diambill daripada ladang yang diusahakan Asia RND Biotech Bhd di ladang kurma Kampung Maju Jaya, Pekan Nenas, Pontian.

“Kita dijangka memindahkan 138 pokok kurma lagi dari Tanah Merah, Julai ini dan menanam sejumlah pokok dari semasa ke semasa,” katanya, yang diiringi pengasas Asia RND Biotech, Mohd Rozaman Yahya, kepada pemberita di Ladang Kurma Empire Agro Farm, ladang kurma pertama di Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya mempunyai kawasan seluas empat hektar di Pengkalan Raja dan 8.4 hektar di Pagoh yang dijangka ditanam dengan tumbuhan tersebut tahun ini bagi mencapai sasaran 3,000 pokok keseluruhannya.

Sebatang pokok kurma Safawi Madu, berbuah setahun sekali, berpotensi menghasilkan 120 kilogram (kg) hingga 200 kg buah kurma.

Hauzrun Shah berkata terdapat sejumlah pokok yang dipindahkan dan ditanam di Ladang Kurma Empire Agro Farm boleh dituai pada Julai hingga Oktober ini selepas mencapai tempoh matang iaitu antara empat dan lima tahun.

“Keistimewaan kurma ini setanding mutu kurma dari negara Arab dengan rasanya yang segar…kurma ini akan dijual pada harga RM80 bagi setiap kg dan turut dijual kepada orang ramai di ladang ini pada Oktober sehingga November ini,” katanya.

Beliau berkata 25 peratus daripada tuaian itu dijangka dijual sebagai kurma segar manakala bakinya digunakan untuk menghasilkan beberapa produk termasuk jus kurma dan coklat.

Bagi yang berminat, pihaknya menawarkan program Kurma Usahawan Johor, tanaman kurma secara ladang kontrak, dan setakat ini 72 individu sudah berminat menyertainya dengan setiap peserta melabur antara RM7,000 hingga RM20,000 dengan pulangan dalam tempoh 13 tahun dan 15 tahun, katanya.

Kurma Usahawan Johor dijangka dilancarkan di ladang itu pada Julai depan dan dalam masa yang sama, pihaknya turut mengadakan jelajah ke beberapa negeri tahun ini untuk menarik lebih ramai individu menyertainya, kata beliau. – Bernama