Asia Timur mekanisme penting

MANILA, Republik Filipina, 14 Nov – Asia Timur kekal menjadi mekanisme yang penting dalam dialog dan kerjasama strategik dan usaha Sidang Kemuncak Asia Timur adalah signifikan dalam menangani isu-isu berkepentingan serantau.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menggariskan perkara berkenaan ketika berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-12.

Baginda seterusnya mengalu-alukan pemuktamadan Pelan Tindakan Manila yang baru, yang akan menetapkan cara-cara praktikal bagi negara anggota Sidang Kemuncak Asia Timur untuk bekerjasama dalam mencari penyelasaian kepada cabaran-cabaran yang sama.

Di sini, Baginda juga mengambil maklum mengenai usaha-usaha di bawah Sidang Kemuncak Asia Timur yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terutama dalam perkara-perkara berkaitan alam sekitar dan kesihatan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat meninggalkan Republik Filipina kelmarin. – Infofoto

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan bergambar ramai bersama ketua-ketua negara ASEAN dan pemimpin Asia Timur sempena Sidang Kemuncak Asia Timur kelmarin.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak Asia Timur kelmarin.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur kelmarin.

Dalam hal ini, Baginda Sultan menggesa agar para pegawai berkenaan dapat menangani isu tersebut secara kolektif, termasuk dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Terdahulu, Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte bagi mengalu-alukan kehadiran para pemimpin Asia Timur dan tetamu-tetamu khas pengerusi ASEAN.

Sidang kemuncak berkenaan pagi tadi dimulakan dengan ucapan pembukaan TYT Rodrigo Roa Duterte, selaku pengerusi ASEAN yang mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan Asia Timur.