ASICS akan buka lebih banyak kedai di Malaysia tahun depan

ASICS akan buka lebih banyak kedai di Malaysia tahun depan

KUALA LUMPUR, 17 Dis – ASICS, sebuah perbadanan multinasional Jepun yang menjual peralatan olahraga bercadang untuk membuka lebih banyak kedai di Malaysia dalam tahun depan sebagai tambahan kepada lima yang sudah beroperasi di negara ini.

Pengarah Pemasaran ASICS Asia Kenji Oh berkata tambahan kepada kedai-kedai itu akan bergantung kepada permintaan pasaran.

“Kami mengalami beberapa kesan ke atas perniagaan berikutan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan ringgit yang semakin lemah.

“Bagaimanapun, kami menguruskan import dan eksport barangan dari Vietnam, Indonesia dan China dengan baik dan menyediakan kasut yang berkualiti kepada para pelanggan kami,” Oh berkata kepada pemberita selepas pelancaran sistem ASICS Foot ID di sini, hari ini.

ASICS Foot ID merupakan sistem teknologi identifikasi kaki yang pertama di Malaysia yang menggunakan laser dan kamera mikro untuk mengimbas dan menganalisis kaki seseorang.

“Kami menyediakan perkhidmatan ASICS Foot ID secara percuma. Ia akan membantu pelanggan mencari jenis kasut yang sesuai mengikut profil kaki seseorang dan gaya larian, memaksimumkan prestasi dan meminimumkan kecederaan. – Bernama