Askar Israel tembak mati warga Palestin

Askar Israel tembak mati warga Palestin

BAITULMAQDIS, 10 Ogos (Reuters) – Tentera Israel menembak mati seorang warga Palestin yang menikam seorang lelaki warga Israel di sebuah stesen minyak di Tebing Barat yang diduduki semalam di sepanjang lebuh raya utama berhampiran Baitulmaqdis, menurut polis.

Orang awam Israel berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke hospital, kata jurucakap polis Luba Samri, sambil menambah bahawa penyerang warga Palestin berasal dari sebuah kampung berhampiran lebuh raya 443, salah satu laluan utama yang menghubungkan Baitulmaqdis dan Tel Aviv.

Dengan rundingan damai menemui jalan buntu sejak April 2014, keganasan akar umbi semakin meningkat di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, di antara wilayah yang Israel tawan dalam perang Timur Tengah 1967 dan di mana warga Palestin berusaha mewujudkan sebuah negara.

Bulan lepas, suspek penyerang Yahudi membakar sebuah rumah warga Palestin di Tebing Barat, mengorbankan seorang anak damit berusia 18 bulan dan bapanya serta mencederakan dengan serius ibu dan abang lelakinya, satu insiden yang meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.

Minggu lepas, dua warga Israel cedera apabila bom petrol dibaling ke arah kenderaan mereka di Baitulmaqdis Timur, berdekatan kawasan yang sama di mana serangan pada Ahad berlaku.

Anggota polis dan tentera Israel melakukan pemeriksaan ke atas jenazah warga Palestin berikutan kejadian penikaman berhampiran penempatan Yahudi di Beit Horon di Tebing Barat, berhampiran Baitulmaqdis pada 9 Ogos 2015. – Reuters
Anggota polis dan tentera Israel melakukan pemeriksaan ke atas jenazah warga Palestin berikutan kejadian penikaman berhampiran penempatan Yahudi di Beit Horon di Tebing Barat, berhampiran Baitulmaqdis pada 9 Ogos 2015. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA