ASL dilancar tahun depan

ASL dilancar tahun depan

SINGAPURA, 25 Sept (Reuters) – Pelancaran Liga Super Asia Tenggara (ASL) pada tahun depan, dijangka menjejaskan saingan peringkat domestik negara peserta, menurut seorang pegawai tinggi Malaysia, hari ini.

ASL yang permulaannya banyak kali tertangguh, dijangka dilancarkan dengan penyertaan 18 pasukan pada tahun depan, dengan 11 negara anggota mempunyai satu wakil manakala negara lebih kukuh seperti Thailand, Singapura, Vietnam dan Malaysia pula memiliki dua wakil.

Bagaimanapun Kevin Ramalingam iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan yang akan menyelia sebuah syarikat swasta mengendalikan pertandingan tempatan di Malaysia, melahirkan kebimbangan beberapa pemain terbaik akan dibawa beraksi di ASL.

“Konsensus secara am mendapati, musim liga domestik di Malaysia atau di mana saja wilayah ASEAN, tidak dapat bertahan atau menyokong sebarang pertandingan lain,” kata CEO Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) itu.

“Sekiranya, ASL menarik penyertaan semua pemain terbaik dalam liga kami, dan meletakkan mereka dalam saingan liga lain secara berasingan yang mana pendapatan liga itu tidak mampu menyokong sistem tempatan, saya bimbang liga lain akan berdepan masalah sama seperti dihadapi Liga-S. Liga-S kini bergelut.”

Pelancaran ASL yang dijadualkan tahun depan dikatakan bakal menjejaskan saingan peringkat domestik negara peserta dan ramai pihak bimbang liga lain akan berdepan masalah sama seperti dihadapi Liga-S sekarang. – Reuters
Pelancaran ASL yang dijadualkan tahun depan dikatakan bakal menjejaskan saingan peringkat domestik negara peserta dan ramai pihak bimbang liga lain akan berdepan masalah sama seperti dihadapi Liga-S sekarang. – Reuters

ASL dirancang untuk membantu meningkatkan standard dan pertandingan di wilayah negara peserta yang sehingga kini masih gagal memberi impak di peringkat global.

Singapura dikatakan menjadi dalang untuk memperkenalkan ASL, namun pemilik kelab tempatan di negara itu memberi amaran betapa liga baru selama lapan bulan itu boleh menguburkan Liga-S yang kini bergelut untuk menarik penonton dan kredibiliti.

ASL juga dijangka dimulakan tanpa Indonesia yang memiliki pasaran luas, selepas masih menjalani penggantungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akibat campur tangan kerajaan, selain beberapa isu berkaitan menyelubungi persatuan bola sepak tempatan negara anggota.

Identiti pasukan yang bakal menyertai ASL setakat ini belum jelas, namun Malaysia dilaporkan bakal menghantar barisan muda daripada kelab tempatan, manakala Thailand, diramal menghantar pasukan pada kedudukan pertengahan liga utama negara itu.