ASLI: Tangani dasar mengekang peningkatan produktiviti negara

ASLI: Tangani dasar mengekang peningkatan produktiviti negara

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) – Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) berkata dasar yang mengekang usaha untuk meningkatkan produktiviti negara perlu dikaji semula atau dimansuhkan.

Pengerusi Pusat ASLI bagi Kajian Dasar Awam Tan Sri Ramon Navaratnam berkata tumpuan perlu diberikan ke atas bidang utama, termasuk dasar kompetitif dan amalan, kualiti pendidikan dan standard serta rasuah dan ketidakcekapan fiskalbagi meningkatkan produktiviti negara.

“Struktur dasar dan amalan kompetitif negara perlu diubah bagi menggalakkan secara aktif produktiviti yang tinggi di semua peringkat masyarakat. Jika kita terus dengan dasar dan amalan perlindungan dan keutamaan, ia akan menjadi percanggahan yang tidak realistik untuk mencapai matlamat produktiviti yang lebih tinggi dalam persekitaran persaingan yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Navaratman mengulas Laporan Produktiviti 2015/2016 yang diterbitkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada 16 Jun lepas.