ASNB tumpu hasil produk terbaik

ASNB tumpu hasil produk terbaik

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), tidak mempunyai rancangan untuk menawarkan lebih banyak produk harga tetap dalam tempoh terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata pihaknya sentiasa menumpukan usaha untuk memberikan produk terbaik kepada para pelabur, dan pelancaran unit amanah harga tetap membolehkan orang ramai boleh mengeluarkan wang mereka bila-bila masa.

“Kebanyakan produk yang kami lancarkan kini terutamanya adalah dalam penentuan harga boleh berubah bagi memastikan kami berkongsi risiko dengan pelabur,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman pengagihan pendapatan

Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2016, di sini hari ini.

PNB hari ini mengumumkan dividen 6.30 sen bagi setiap unit ASW 2020 bagi tahun kewangan 2016, susut 0.10 sen seunit daripada 6.40 sen yang diumumkan tahun lepas.

Pengerusi PNB yang baharu dilantik, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata dividen 6.30 sen adalah satu yang perlu dibanggakan dengan mengambil kira pasaran tempatan tidak stabil tahun ini, yang menjejaskan prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI.

“Dalam suasana ekonomi dan perlaburan negara yang banyak dipengaruhi faktor luaran ini, tabung ASW 2020 akan terus merangka strategi pelaburan yang berhemat menerusi perumpukan aset yang bersesuaian. – Bernama