ASNB umum dividen untuk 2015

ASNB umum dividen untuk 2015

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.10 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, berbanding 6.45 sen seunit yang diagihkan pada 2014.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sejumlah RM106.72 juta dan memberi manfaat kepada 1.25 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.75 bilion unit ASN.

“Sehingga 23 Disember ASN mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM126.27 juta,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan dividen itu di sini, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, keuntungan daripada jualan saham menyumbang 63.3 peratus, diikuti dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat (28 peratus) dan instrumen lain (8.7 peratus).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata dividen yang lebih rendah itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang mencabar, seperti harga komoditi yang rendah dan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan.

“Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI telah mencatat penurunan sebanyak 5.5 peratus kepada 1,663.51 mata pada 23 Disember 2015 daripada 1,761.25 mata pada 31 Disember 2014,” katanya.

Agihan pendapatan akan dilaburkan semula ke dalam unit tambahan ASN dan akan secara automatik dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai bersih setakat 31 Disember 2015. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA