ASOD bincang hala tuju pasca 2015

ASOD bincang hala tuju pasca 2015

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Dadah (ASOD) ke-36 telah berlangsung di Singapura pada 24 hingga 26 yang lalu dengan membincangkan hala tuju ASEAN dalam membentuk pelan tindakan pasca ASEAN 2015 bagi menangani cabaran-cabaran dadah haram.

Menurut kenyataan Biro Kawalan Narkotik (BKN), di sini, hari ini, mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kedua Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohammad.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Yang Terutama telah memuji usaha-usaha serantau dalam menangani isu pengedaran dadah dengan menggunakan mekanisme kerjasama seperti ASEAN Airport Interdiction Task Force dan Pusat Penyelarasan Narkotik ASEAN.

Haji Jasmin bergambar ramai bersama TYT Masagos Zulkifli serta ketua-ketua delegasi negara ahli ASEAN yang lain.
Haji Jasmin bergambar ramai bersama TYT Masagos Zulkifli serta ketua-ketua delegasi negara ahli ASEAN yang lain.

Tuan Yang Terutama turut menekankan persetujuan yang telah dibuat oleh rakan-rakan menteri semasa Mesyuarat ke-3 Menteri-menteri ASEAN mengenai Dadah agar aspirasi serantau ‘ASEAN bebas dadah’ yang melambangkan komitmen dan daya tahan ke arah ‘zero tolerance approach’ bagi memastikan rakyat dan penduduk dilindungi daripada penyalahgunaan dadah perlu diperkukuhkan bagi strategi anti-dadah pasca 2015.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat ASOD ini juga merupakan salah satu wadah bagi negara-negara ahli ASEAN untuk bertukar-tukar maklumat, pengetahuan, amalan-amalan terbaik dan juga untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam menangani isu-isu dadah. Mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan ialah Pengarah BKN, Haji Jasmin bin Haji Jamudin. Hasil mesyuarat ini akan dilaporkan ke peringkat menteri semasa Mesyuarat ke-3 Menteri-menteri ASEAN mengenai Dadah yang akan dihoskan oleh Malaysia pada bulan Oktober nanti.

ARTIKEL YANG SAMA