Aspek perlindungan Mawilla 4 mantap

KUCHING, 7 Mac – Penubuhan Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu akan menambah baik aspek perlindungan keselamatan perairan serta industri minyak dan gas di Sarawak.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata entiti terbaharu industri minyak dan gas iaitu Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang dilancarkan semalam juga memberi isyarat keperluan kehadiran aset dan pangkalan agensi keselamatan itu di negeri ini.

Katanya penempatan aset di Mawilla 4 Bintulu juga akan memberi kelebihan dari segi masa respons khususnya melibatkan rondaan di kawasan perairan Beting Patinggi Ali.

“Kementerian Pertahanan mahu percepatkan penubuhan Mawilla 4 ini, secara nukleas TLDM telah menempatkan pegawai dan anggota dengan menumpang kemudahan di Pelabuhan Bintulu, dalam masa yang sama kita dalam proses mendapatkan tempat lebih sesuai.

Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tengah) beramah mesra dengan para penerima pada majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada veteran TLDM semalam. – Bernama

“Sarawak memerlukan kehadiran TLDM, dengan adanya Mawilla 4 ini proses untuk TLDM menghantar lebih banyak kapal dipercepatkan lagi,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 24 Veteran TLDM di bangunan Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman berkata bagi memastikan proses mendapatkan tempat lebih sesuai dilaksanakan segera, beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam pertemuan bersama kepimpinan negeri. – Bernama