Aspirasi Ahli Sunnah Wal Jama’ah sejahterakan negara

Aspirasi Ahli Sunnah Wal Jama’ah sejahterakan negara

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah mendapat tempat yang terjamin di Negara Brunei Darussalam seperti yang termaktub dalam perlembagaan bertulis yang dimasyhurkan pada 29 September 1959 yang menyatakan Islam merupakan agama rasmi negara menurut aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah Mazhab Shafi’e.

Dari itu jugalah tercetusnya aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah ‘Negara Zikir’.

Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail berkata aspirasi mengikut aliran akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah ini telah memakmurkan dan menyejahterakan negara ini sesuai dengan perkembangan zaman dan diperkuatkan lagi dengan penghayatan kepada konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

“Pemikiran seimbang antara nas-nas murni dan akal fikiran sihat, serta dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini bagi menuju ke arah baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur iaitu negara makmur yang sentiasa mendapat keampunan dari Allah SWT,” tambahnya semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat Majlis Perasmian Seminar Serantau Sumbangan Ulama Asha’irah dan Maturidiyyah dalam Pemantapan Akidah Islamiah anjuran Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di universiti berkenaan hari ini.

Antara peserta seminar yang tidak mahu melepaskan peluang dalam menimba ilmu sumbangan Ulama Asha’irah dan Maturidiyyah dalam pemantapan akidah Islamiah.
Antara peserta seminar yang tidak mahu melepaskan peluang dalam menimba ilmu sumbangan Ulama Asha’irah dan Maturidiyyah dalam pemantapan akidah Islamiah.

Melihat kepada perkembangan semasa, beliau seterusnya menyeru supaya umat Islam di negara ini memiliki akidah berterusan yang mantap supaya tidak dicabar dan diganggu gugat oleh anasir dan fahaman yang bercanggah dengan apa yang telah ditetapkan oleh ulama muktabar dalam bidang Usuluddin, khasnya ulama Asha’irah dan Maturidiyyah yang telah berusaha memperkasakan akidah Islam yang murni ini.

Sementara itu, pengerusi seminar, Dekan Fakulti Usuluddin, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya semasa menyampaikan ucapan di majlis itu berkata pemilihan seminar menjurus kepada Asha’irah dan Maturidiyyah itu adalah kerana golongan ini memiliki kemantapan ilmu pengetahuan dan keseimbangan metodologi dalam pemikiran akidah dan akhlak.

“Seminar ini dilihat sangat signifikan malah menjadi keperluan memperkenalkan tokoh ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah dengan memberi tumpuan utama terhadap sumbangan para ulama Asha’irah dan Maturidiyyah,” tambahnya.

Seminar itu dihadiri oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik luar dan dalam negara, wakil institusi kerajaan dan swasta, mahasiswa UNISSA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) termasuk mahasiswa luar negara, penuntut sekolah menengah dan sekolah Arab serta orang perseorangan.

Himpunan 39 buah kertas kerja yang dibentangkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris itu dihasrat dapat memberi manfaat dalam memangkinkan akidah murni yang berlandaskan akidah yang mantap.

Antara lain objektif seminar adalah untuk memperkenalkan tokoh ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang telah berjaya melakar kemajuan dalam sejarah Islam dan mengembalikan ketuanan agama Islam dalam arena kehidupan realiti pada sudut ilmiah.

Dengan adanya seminar ini, ia juga dihasratkan dapat mengukuhkan dan memantapkan akidah yang benar dan diredai dalam kalangan umat Islam di Brunei dan rantau ini.

Perasmian seminar berkenaan diteruskan dengan pembentangan kertas perdana bertajuk Pembaharuan Metode kajian Aqidah Islam dalam Mazhab Ahlusunnah Waljama’ah yang disampaikan oleh Profesor Dato’ Dr Sayid Muhammad Aqiel bin Ali Al Mahdaly dari Fakulti Usuluddin, Universiti Kolej Insaniah (KUIN) Malaysia.

Sementara itu, ucaptama dalam Bahasa Arab pula disampaikan oleh Profesor Madya Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya, Malaysia,

ARTIKEL YANG SAMA