Asrama diguna...

Asrama diguna tempatkan murid SK Pekan Tongod

KINABATANGAN, 10 Jan – Bangunan bekas asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod akan digunakan sementara bagi menempatkan 61 murid selepas asrama desa Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tongod terbakar semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Dr Mohd Kassim Mohd Ibrahim berkata asrama itu tidak digunakan oleh SMK Tongod dan terletak bersebelahan SK Pekan Tongod.

Katanya langkah itu membolehkan 61 murid iaitu 32 lelaki dan 29 perempuan SK Pekan Tongod yang tinggal di asrama dapat meneruskan sesi persekolahan.

Datuk Masiung Banah (dua, kanan) ketika melawat kawasan kebakaran membabitkan asrama desa Sekolah Kebangsaan Pekan Tongod, kelmarin. – Bernama
Datuk Masiung Banah (dua, kanan) ketika melawat kawasan kebakaran membabitkan asrama desa Sekolah Kebangsaan Pekan Tongod, kelmarin. – Bernama

“Ia adalah tindakan jangka pendek yang diambil bagi memastikan murid terlibat dapat meneruskan sesi persekolahan,” katanya selepas mendengar taklimat kejadian itu oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tongod dan Telupid Mahanin Othman di SMK Tongod, hari ini.

Hadir sama, anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.

Mohd Kassim berkata pakaian sekolah dan buku juga akan diberikan kepada murid yang terjejas akibat kebakaran itu. – Bernama