‘Asrama kontena’ curi perhatian pelajar

‘Asrama kontena’ curi perhatian pelajar

DENMARK – Urban Rigger, sebuah firm perumahan dan arkitek di Denmark, telah muncul dengan idea mesra alam bagi menyediakan penginapan yang murah dan selesa bagi para pelajar yang kekurangan wang untuk tinggal di bandar-bandar besar. ‘Asrama kontena’ inovatif diperbuat daripada kontena perkapalan yang diubahsuai terapung di atas sebuah platform di pelabuhan-pelabuhan bandar.

Bagi para pelajar, perlu menyimpan wang untuk membayar sewa setiap bulan merupakan antara perkara yang paling menyeksakan dalam aspek kehidupan mereka, tetapi bagi beberapa ratus orang belia bernasib baik yang belajar di Copenhagen, perkara itu akan berubah dan menjadi lebih mudah.

Urban Rigger berharap untuk mengurangkan beban kewangan ke atas para pelajar dengan membina rumah kontena yang hebat dengan kadar sewa hanya AS$600 sebulan. Di ibu negara Denmark, secara praktikalnya tawaran itu satu peluang keemasan.

Murah dan selesa

Idea bagi asrama kontena ini datang ketika pengasas bersama Urban Rigger, Kim Loudrup, tercari-cari tempat dengan kadar sewa yang berpatutan bagi anak lelaki sulungnya dan telah menyedari bahawa kesemua kadar sewa tempat tinggal sangat mahal.

Pemandangan asrama kontena tersebut dari udara.
Pemandangan asrama kontena tersebut dari udara.
Platform terapung yang digunakan bagi asrama kontena itu menawarkan ruang bagi halaman kecil dan kawasan berbeku di tengah-tengah.
Platform terapung yang digunakan bagi asrama kontena itu menawarkan ruang bagi halaman kecil dan kawasan berbeku di tengah-tengah.

“Anak lelaki saya memerlukan sebuah tempat untuk tinggal apabila beliau meneruskan pengajian universiti,” katanya.

“Apabila kami melayari Internet untuk melihat mana-mana perumahan pelajar yang berdekatan dengan kami, ia seolah-olah seperti mimpi ngeri untuk mengetahui sewanya.”

Oleh itu syarikatnya bekerjasama dengan firma arkitek Denmark, Bjarke Ingels, untuk memikirkan alternatif yang lebih murah.

Kedua-dua buah syarikat itu membuat keputusan bahawa membina dengan menggunakan kontena perkapalan adalah masuk akal untuk membina modular bilik asrama yang selesa dan murah. Setiap unit merangkumi tiga kontena perkapalan yang menyediakan ruang secukupnya bagi menempatkan sehingga 12 orang pelajar dalam satu masa.

Asrama itu dilindungi oleh ultralight aerogels yang dimajukan oleh NASA, dijana dengan menggunakan tenaga solar, dan dilengkapi dengan tempat pencuci bergerak.

Selepas membuat beberapa penyelidikan, Urban Rigger mendapati dalam 80 peratus bandar-bandar Eropah, universiti-universiti terletak berdekatan dengan pusat bandar, jadi mereka perlu menempatkan asrama mereka di kawasan yang berdekatan dan pada masa yang sama murah.

Hasil penyelidikan mereka juga menunjukkan bahawa di sebahagian besar bandar di Eropah mempunyai pelabuhan berdekatan dengan pusat bandar, jadi mereka membuat keputusan untuk membina asrama kontena mereka terapung.

Keadaan dalaman bilik yang selesa.
Keadaan dalaman bilik yang selesa.
Lokasi yang unik, kadar sewa murah dan ciri-ciri yang menarik asrama kontena ini telah menarik perhatian ramai pihak, khususnya para pelajar.
Lokasi yang unik, kadar sewa murah dan ciri-ciri yang menarik asrama kontena ini telah menarik perhatian ramai pihak, khususnya para pelajar.

“Sebahagian besar bandar-bandar selepas perindustrian di dunia mengalami perubahan dan kemerosotan dalam industri pelabuhan,” kata seorang jurucakap dari Bjarke Ingels.

“Pada masa ini anda melihat sebahagian besar bandar-bandar di seluruh dunia didapati mempunyai ruang-ruang pelabuhan yang kosong yang boleh diubah dan mungkin menjadi alternatif rumah di bandar-bandar. Anda mempunyai industri yang menghasilkan dan memindahkan kontena. Jadi apa yang kami cadangkan adalah menyalurkan kehidupan baru ke dalamnya.”

Ciri istimewa

Lokasi yang unik itu membolehkan para arkitek memasukkan beberapa ciri istimewa seperti platform mandi dan penurunan kayak, sementara platform terapung yang digunakan bagi asrama kontena itu menawarkan ruang bagi halaman kecil dan kawasan berbeku.

Baru-baru ini, prototaip asrama kontena pertama telah dilancarkan di pelabuhan Copenhagen, dan Urban Rigger menyatakan ia akan sedia pada tahun depan. Syarikat itu sudah memulakan kerja ke atas 20 unit (240 bilik) untuk ditempatkan di bandar-bandar lain di seluruh Denmark, dan 24 unit (288 bilik) bagi Sweden.

Lokasi yang unik, kadar sewa murah dan ciri-ciri yang menarik asrama kontena ini telah menarik perhatian seluruh dunia, dengan Urban Rigger mendakwa telah menerima pertanyaan daripada lebih 30 buah negara di Amerika Utara, Eropah dan Asia. Ia merancang untuk membina 12,000 hingga 18,000 asrama kontena dalam masa 10 tahun akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA